Kuala Lumpur, 1 Ogos – Pemikiran politik Al-Ghazali merupakan inti pati karya Tan Sri Alies Anor Abdul dalam buku beliau berjudul Negara Maslahah dalam Konteks Malaysia yang dikupas dalam satu program Wacana Buku bertempat di UTM Kuala Lumpur.  Usaha ini merupakan kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Institut Terjemahan & Buku Negara (ITBN) dan Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW).

Wacana buku ini menampilkan tiga ilmuan yang juga merupakan ahli akademik dan profesional iaitu Profesor Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz dari Fakulti Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Yusri Mohamad, Yang Di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Dr. Amran Muhamad, Ketua Eksekutif Islamic & Strategic Studied Institute.  Program ini dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Kassim Thukiman sebagai moderator yang turut berpengalaman luas dalam bidang sejarah, sains, politik dan hubungan antarabangsa.

Wacana ini dianjurkan dalam bentuk forum bagi mengupas dan membincangkan secara ilmiah buku terbitan  bersama Penerbit UTM Press dan ITBN untuk memberi penerangan kepada masyarakat, ahli akademik dan golongan pelajar serta mereka yang berkepentingan berkaitan isu-isu negara maslahah

Al-Ghazali mendefinisikan politik atau siasah sebagai penambahbaikan dalam kehidupan atas tatacara dan praktikal yang sebenar.  Beliau seorang pemikir Islam yang menekankan aspek keharmonian dan kestabilan negara sebagai asa utama, dengan memberi tumpuan kepada politik moral bagi digunakan untuk tujuan kebajikan rakyat.  Menurut Al-Ghazali, untuk memenuhi keperluan, manusia perlu diberi pembahagian tugas yang membentuk peranan kerjaya, dan seterusnya membawa kepada satu bentuk pengurusan dan pentadbiran.  Daripada itulah memungkinkan kelangsungan hidup sesebuah masyarakat.  Politik moral yang diterapkan oleh Al-Ghazali sebenarnya melangkaui politik kepartian atau ideologi tertentu yang didominasi oleh kelompok tertentu.

Dalam program ini, perkara berkenaan politik moral dikupas secara lebih terperinci oleh tiga panel yang hadir, dengan tatacara yang dilihat dalam keadaan semasa politik Malaysia masa kini berdasarkan pengamatan daripada penulisan Tan Sri Alies Anor Abdul.  Kupasan dan wacana ini sudah semestinya memberikan gambaran yang lebih jelas daripada sudut pandang yang pelbagai dimensi, memandangkan panel yang hadir mempunyai perspektif tersendiri mengenai ide pemikiran politik moral Al-Ghazali.  Apatah lagi dalam senario politik Malaysia yang dilihat mempunyai refleksi yang pelbagai dengan ideologi dan matlamat tertentu.

Translate »