10 Oktober 2014 menjadi tarikh penting dalam sejarah pengagum pemikiran Islam Liberal di Malaysia apabila Menteri Dalam Negeri menolak permintaan pihak penganjur, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global Malaysia (GMM) dan Islamic Renaissance Front (IRF) untuk membawa masuk Dr Ulil Abshar Abdalla, pengasas Jaringan Islam Liberal (JIL) Indonesia dalam perbincangan meja bulat Tentangan Fundamentalisme Agama Abad Ini. Perbincangan itu dijadualkan pada 18 Oktober 2014 di Bukit Damansara. Ia dilarang kerana mempromosikan Islam Liberal, satu bentuk pemikiran Islam yang berdasarkan lojik akal dan tasfiran semula dengan menggunakan asas sejarah bagi membentuk kerangka berfikir berandarkan lojik akal.
Sebelum itu (2012), kecoh mengenai kehadiran Irshad Manji, seorang penulis keturunan Uganda (lahir 1968 dari pasangan Mesir-India) yang kemudiannya berhijrah ke Kanada dalam tahun 1970-an (ketika Irshad berumur 4 tahun) ekoran kegelisahan politik zaman Idi Amin. Irshad (perempuan) adalah pengamal LBGT, dan diakuinya bahawa ia tidak menjadi kesalahan dalam Islam. Awal Mei 2016, Irshad Manji berkahwin dengan Laura Albano di Hawaii. Kehadirannya dilihat sebagai tindakan menyokong LBGT, yang ketika itu sudah mula membawa masalah sosial dalam masyarakat, ada pelbagai aktiviti berkaitan dengannya.
Misalnya, forum Seksualiti Merdeka (bermula 2008), Pertandingan Ratu Mak Nyah (Sajat pernah menang 2010), yang kemudiannya menjadi semakin riuh dan menggemparkan apabila aktivisnya mahukan kahwin sesama jantina disahkan dari perspektif undang-undang, tidak diskriminasikan di tempat kerja dan menepis stigma masyarakat.
Kehadiran ke Malaysia untuk mempromosikan buku, The Trouble of Islam Today: A Muslim’s Call for Reform in Her Faith (2005) dan melancarkan edisi bahasa Melayu buku Allah, Kebebasan dan Cinta (2012) yang diterjemahkan dari Allah, Liberty and Love: The Courage to Reconcile Faith and Freedom (2012) dan diterbitkan oleh Zi Publications. Syarikat penerbitan tersebut adalah milik Zahid Ibrahim, yang juga bermasalah dalam politik (dari UMNO (2000-2009), berpindah kepada PKR (2009-2010), ambil alih Angkatan Keadilan Insan Malaysia dan menamakannya kepada Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (2010-2012), kemudian menyertai DAP (7 Februari 2017 dan keluar DAP pada 15 April 2020).
Irshad tiba di Malaysia dari Indonesia. Namun, promosi bukunya terhalang, termasuk berucap di University Monash-Sunway. Irshad turut mengalami halangan yang sama ketika di Indonesia, ceramahnya di Universiti Gajah Mada (Indonesia) terpaksa dibatalkan sehari sebelumnya. Beliau bersahabat baik dengan Salman Rushdie, seorang penulis keturunan India, yang terpaksa hidup dalam “kurungan” di Britain selepas buku Satanic Verses memasuki pasaran (1988) dan tahun 2000, menetap di Amerika Syarikat. Hingga kini, Iran tidak membatalkan ‘hukuman bunuh’ ke atas Salman akibat memburuk-burukkan ayat-ayat al-Qur’an. Harga ‘kepala Salman Rushdie’ meningkat kepada US$3 juta, yang menyebabkan dia terpaksa berhati-hati.
Islamic Renaissance Front (IRF) pernah terbabit menganjurkan dialog Scriptural Polemics: The Qur’an and Other Religion pada bulan Ogos 2017 dengan menampilkan seorang pemikir Islam Liberal Indonesia yang bertugas di University of Nortre Dame (universiti penyelidikan Katholik), Indiana, Amerika Syarikat, Dr Mun’im Sirry. Dalam dialog tersebut, Dr Mun’im menyatakan “al-Quran tidak relevan dan diturunkan pada era Mesopotamia” dan menurut Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha “suatu kenyataan yang salah dan bertentangan dengan ajaran Islam” kerana ia adalah “satu percubaan menyebarkan idea liberal yang sesat” (Berita Harian, 25 Ogos 2017).
Persoalan Islam Liberal turut menarik minat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli al-Bakri menulis dalam Al-Bayan Siri 12 dengan tajuk Dari Liberalisme ke Islam Liberal: Satu Sorotan (14 September 2020) dengan bagi memberi kefahaman terhadap istilah liberal walaupun sorotannya mengambil kira perihal kebebasan ekonomi dan politik untuk memahami makna Islam Liberal. Namun, Fadhil Muhammad dalam ulasannya menyatakan untuk memahami makna liberal, ia bukanlah suatu hal yang mudah, masih belum ada satu takrif umum yang boleh diterima, termasuklah percubaan memahaminya berdasarkan apa yang ada dalam kamus.
Liberalisme, secara mudahnya merupakan satu bentuk pemikiran tentang liberal. Makna liberal itu ialah (1) condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik; (2) bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya. (Kamus Dewan, 2007:935-935). Elemen yang penting dalam takrifan ini ialah kehendak kepada kebebasan, iaitu kebebasan berfikir, atau dalam istilah lainnya, berfikiran terbuka atau tidak jumud. Maka, liberalisme pula adalah “ “faham yang liberal, fahaman atau pendirian yang mahukan demokrasi serta kebebasan dalam kegiatan ekonomi.”
Jika kita mengambil pengertian ini, secara langsungnya, liberalisme tidak ada kaitannya dengan ancaman kepada agama, berbeza dengan pemahaman kita mengenai sekularisme. Kemuncak sekularisme ialah kemodenan, dan dalam menuju kemodenan ia menyebabkan nilai-nilai tradisi tersisih. Antara nilai tradisi itu ialah agama. Kisah penyingkiran nilai tradisi itu atau agama melalui sekularisme, Karen Armstrong menganalogikan seperti kisah ‘kambing liar’. Oleh kerana ‘kambing liar’ itu menjadi halangan terbesar, maka ia dibuang ke padang pasir yang tandus. Setelah sekian lama ‘dibuang’, akhirnya ‘kambing liar dari gurun’ itu ‘kembali menuju ke kota yang telah mengusirnya, dengan kebencian yang bernanah’. Ia mengakibatkan perang dan terorisme terhadap rejim yang berkuasa, yang sebahagiannya diistilahkan sebagai perang antara agama dan perang kerana agama. (Karen Armstrong, Fields of Blood, 2014).
Liberalisme agama merupakan produk daripada agenda sekularisme, menerusi pendekatan intelektual. Ia muncul dan berkembang selepas maraknya idea falsafah kebebasan sebagai satu fenomena kegelisahan sosial masyarakat barat terhadap kongkongan pihak gereja dan elit politik yang bersifat autolitarian. Falsafah itu sebenarnya sudah lama berakar dan menjadi sebahagian daripada perspektif peradaban Yunani dan Rom kuno. Ia kemudiannya dibahaskan secara meluas oleh peradaban Islam, dan sebahagiannya diinnovasikan sebagai sebahagian daripada nilai intelektual ilmuan Islam. Bagaimanapun, pada abad pertengahan, Iman Al-Ghazali berusaha mengepis dan mengharamkan bidang falsafah dalam tradisi intelektual Islam kerana ia akan berhujung dengan relativiti keyakinan terhadap Allah SWT.
Selepas barat menghidupkan zaman pencerahan, ilmu-ilmu yang berkembang dalam empayar Islam diterjemah dan dikembangkan sebagai usaha baharu bagi memulakan kebangkitan keinginan terhadap kemodenan. Ilmu-ilmu itu diperbaharui dengan nilai-nilai yang bersesuaian matlamat sekularisme, yang akhirnya kembali menyerang dan dianuti oleh umat Islam. Tradisi ilmuan barat semakin bercorak impirikal, dan atas asas itulah akhirnya telah mencipta istilah kemodenan. Muncul percubaan untuk mentafsir Bible berdasarkan kerangka hermeneutika, dan kemudiannya lahir pula keinginan masyarakat Islam untuk mengadopsikannya kepada al-Qur’an.
Pemikiran-pemikiran itu semakin dipromosikan dalam masyarakat Islam Malaysia, antaranya, Reza Arslan, No God but God (2005), edisi bahasa Melayu dengan tajuk Tiada Tuhan Melainkan Allah (2012); Mustafa Akyol (Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty, 2005, edisi bahasa Melayu, Islam Tanpa Keesktreman, 2017); Irshad Manji, Allah, Kebebasan dan Cinta; Nasr Hamid Abu Zayid, Suara Orang Buangan (2009) dari Voice of an Exile (2004); dan buku-buku berbahasa Indonesia. Buku Reza dan Nasr Hamid Abu Zayid tidak diharamkan berbanding buku Irshad Manji dan Mustafa Akyol. Bagaimanapun pengharaman itu berakhir, Mahkamah batalkan pengharaman Allah, Kebebasan dan Cinta (5 September 2013), Islam Tanpa Keesktereman (13 Februari 2020) dan dua buku lain, Wacana Pemikiran Reformis Jilid 1 dan Jilid 2
Dr Zulkifli cuba memberikan sedikit pencerahan terhadap makna liberal yang ditakrifkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu. JAKIM mendefinisikan liberal sebagai “suatu bentuk pemikiran yang bebas, terbuka dan dipandu oleh hawa nafsu.” Kita tahu, bukan semua pemikiran yang ‘dipandu oleh hawa nafsu’ itu adalah aura jahat, bahkan Imam Al-Ghazali menjelaskan tidak semua ‘hawa nafsu’ perlu dilawan, kerana tidak semua nafsu mengandung sifat-sifat tercela dan buruk.
Dr Zulkifli cuba menyoroti sedikit asas kepada falsafah liberal yang dimulai dalam bidang ekonomi dan politik, terutama di Amerika Syarikat apabila mengambil contoh tulisan Milton Friedman (1912-2006) bertajuk The Basic Principle of Liberalism. Sebenarnya, konsep kebebasan ekonomi telah dimulakan lebih awal oleh Adam Smith (1723-1790), yang kemudiannya diterjemahkan secara praktis oleh negara-negara Eropah dalam konteks ‘dasar merkantalisme’ di Britain mahupun ‘dasar kebenuaan’ di Perancis. Buku Adam Smith, The Wealth of Nations (1776) dan The Theory of Moral Sentiments (1759) menjadi asas ekonomi moden, laissure-faire, di mana secara teorinya, kerajaan tidak ada hak untuk campur tangan. Hakikatnya, tidak ada kebebasan mutlak, pemerintah tetap ada peranannya dalam penentuan dasar (termasuk kawalan) -dasar fiskal dan monetari—dan memberikan perlindungan bagi membolehkan keluaran tempatan berkembang.
Rencana Milton itu asalnya adalah syarahan yang disampaikan pada 21 Jun 1956 di Kolej Wabash, Indiana yang beraliran liberal oleh sekumpulan penganut Prebystraian pada tahun 1832. Syarahan itu dikembangkan menjadi buku bertajuk Capitalism and Freedom (1962). Sebagai seorang ahli ekonomi dan penyokong Republikan, Milton yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik pasangan keluarga Yahudi dari Ukraine cukup dikenali sebagai pejuang ekonomi kebebasan. Pernah menjadi penasihat ekonomi kepada tiga orang presiden daripada Republikan, iaitu Richard Nixon (1913-1994), Gerald Ford (1913-2006) dan Ronald Reagan (1911-2004), juga perdana menteri Britain, Margaret Thatcher (1925-2013).
Sebenarnya konsep kebebasan individu sudah lama bermula, berakar umbi dari sejarah klasik Yunani dan Rom. Tradisi itu memunculkan istilah demokrasi, yang bertentangan dengan konsep negara polis, terutama dalam perihal Athens dan Sparta. Demokrasi membawa maksud, ‘kepatuhan individu kepada kekuasaan masyarakat’ atau majoriti. Salah satu contoh kebebasan ialah Yunani tidak dijajah atau diperintah oleh kuasa asing sebagaimana diperihalkan oleh sejarahwan klasik, Herodotus (484-425SM). (Rujuk: Fareed Zakaria, Masa Depan Kebebasan: Penyimpangan Demokrasi di Amerika dan Negara Lain, (terjemahan dari The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad, 2003), Jakarta: PT Ina Publikatama, 2004: 31-40). Ini bermakna, soal kebebasan individu adalah perkara yang bukan sahaja telah lama diperkatakan, bahkan diperjuangkan dalam sejarah, walaupun kemenangan majoriti atau desakan undang-undang (dan keputusan pemimpin, ketua agama atau ketua suku kaum) menjadi penghalang terbesar, termasuklah apa ‘hentakan gereja’.
Faisal Muhamad misalnya melihat pemikiran manusia dipengaruhi oleh persekitaran, termasuklah pengaruh pembacaan seseorang. Fikiran manusia boleh berubah kerana prinsip kebebasan telah sedia ada dalam diri manusia, termasuklah ‘hawa nafsu’ yang mendorong seseorang itu menambah pengetahuan atau menyelidiki sesuatu daripada fenomena alam ataupun apa yang timbul daripada keinginannya. Daripada kehidupan dan pembacaan itulah manusia membentuk kaedah berfikir dan mengenai cara berfikir lojik (rujuk: Faisal Muhamad, Islam Liberal: Satu Definisi, Sinar Harian, 19 September 2020). Maknanya, rasionaliti atau kebebasan berfikir menurut lojik telah mengembangkan kenyataan falsafah liberal, sehingga lahirnya gerakan Islam Liberal.
Perihal berfikir secara lojik sudah menjadi tentangan dan kritikan kuat oleh Imam Al-Ghazali, dan menyebabkan beliau menolak bidang falsafah. Hamka, misalnya pernah menyatakan penolakan tersebut adalah satu kerugian bagi umat Islam manakala Robert R Reilly melihat ia sebagai gambaran buruk ‘As-Syariyyah’ dan menyebabkan minda muslim tertutup. (Hamka, Falsafah Hidup, 1939; dan Robert R Reilly, Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin (terjemahan bahasa Melayu), 2017).
Bagi Al-Ghazali, kaedah falsafah berbahaya kerana terlalu berusaha mencari rasional sedangkan sebahagian rasional yang dicari itu tidak dapat diperoleh, ia berada di luar jangkauan pemikiran manusia. Bagaimanapun, setelah lama dipertahankan, akhirnya terobosan rasional semakin kuat dan hampir menjadi juara. Daripada pelbagai pertembungan, ia telah membawa kepada ‘pertentangan dan permusuhan’. Sebahagian besar penganut Islam mula mencari asas berpijak yang baharu, meletakkan kebebasan akademik sebagai kerangka pembangunan intelektual dengan mencabar nilai-nilai agama dan makna agama di samping kewajaran memisahkan agama dalam kerangka bernegara dan bermasyarakat.
Sebelum berjaya dipisahkan, agama dilihat sebagai faktor yang berusaha menjadikan manusia tidak hidup dalam kegelapan dan keterpurukan (jahiliyah), manakala kehidupan bebas agama telah diterima sebagai lebih maju dan moden. Pertentangan itu telah membuka laluan sekularisasi, dan ‘hawa nafsu’ dijadikan sebahagian daripada nilai dieksploitasi, manipulasi. Sebahagian manusia tunduk kepada “hawa nafsu”, sehingga hedonisme menjadi pilihan dan “kesukarelaan” menjadi teras. Namun, masalah manusia tidak juga selesai malah bertambah buruk. Kehidupan semakin dijarakkan oleh kuasa, kekayaan material dan corak masyarakat ikut difragmentasikan: “kaya bertambah kaya, miskin papa kedana” dan
“menang dapat semua, kalah hilang semua.
Begitu juga dengan Islam. Timbul pelbagai istilah, walhal Islam itu hanya satu. Ia hadir untuk menyatukan manusia, membebaskan manusia daripada kejahilan. Islam menyatukan seluruh umatnya dengan berpaksikan amar makruf nahi mungkar. Namun, kerana ‘hawa nafsu’, Islam dipisahkan oleh pemahaman literal dan rasional kepada empat mazhab, sedangkan aliran pemikiran tersebut bermula dengan harapan menyelesaikan perselisihan dalam perkara-perkara ‘ranting’. Atas kehendak kuasa dan tekanan premodial, muncul pula pembahagian antara Sunni dan Syiah. Kini, ia menjadi bertambah rumit apabila asas falsafah sekular menusuk masuk dalam pemikiran umat Islam dengan pelbagai gerakan- Islam Liberal, pluralisme agama, fundamentalisme dan Islam moderat.
Istilah-istilah itu sebenarnya tidak pernah ada dalam kamus ilmu-ilmu Islam, tetapi berkembang apabila pelajar-pelajar Islam semakin taksub dengan kaedah ilmiah barat yang berpaksikan idea-idea sekular. Ia menjadi lebih berpengaruh apabila ilmu-ilmu sekular berjaya membuktikan ‘keunggulan barat’, yang diistilahkan sebagai moden, sedangkan kemodenan itu turut membawa petaka kepada manusia, menjahanamkan nilai-nilai kemanusiaan.
Jika kemodenan mempunyai kesan positif dan negatif, agama juga dilihat dengan petunjuk yang sama. Dari perspektif psikologi, agama adalah faktor penting dalam membina karakter dan berupaya mempertahankan nilai-nilai sakral dan profane, maka agamalah alam diserang terlebih dahulu. Agama dilihat sebagai penghalang kemajuan dan kemodenan.
Atas dasar itulah agama terus dipersalahkan, seolah-olah ‘otak tua’ (yang diwarisi daripada tabiat reptilia) dipenuhi dengan keinginan berkelahi (bermusuh) dan panas baran apabila terkejut atau tersintak. Otak moden, lebih bebas berfikir dan bertindak, tetapi, otak moden juga tidak bebas daripada permusuhan dan sengketa, kerana manusia memang ada gerakan dan tindak balas terhadap ‘hitam-putih’, yang cuba dibawa oleh agama, untuk menjadikan manusia saling bekerjasama, kenal mengenali dan hidup bersama secara aman dan harmoni.
Dan, dalam Islam, Islam Liberal memang boleh mengundang masalah besar. Islam Liberal mengundang kepada penyimpangan kepercayaan (kalimah Allah), kelunturan semangat tauhid (semua agama adalah sama) dan kehancuran akhlak (bebas melakukan, prinsip sukarela atau mutual understanding). Islam membenarkan perbezaan pendapat, tetapi perbezaan pendapat tidak menyimpang daripada prinsip keyakinan tauhid dan cenderung kepada hal-hal yang bersifat syirik.
Ada jalan penyelesaian, namun jalannya semakin berliku kerana ada ‘batu terjal’ yang menghalanginya atau usaha meremehkan proses berijtihad dan kecenderungan politik agamawan (mirip sectarian). Sikap liberal akan terus berkembang dan membesar selagi sebahagian daripada agamawan tidak sudi membuka laluan mesra dan bersedia berbahas dalam bahasa intelektual. Sebahagian daripada agamawan dilihat semakin tumpul ‘jihad intelektual’; sebahagiannya terus selesa dengan ilmu-ilmu yang dipelajarinya secara tradisi dan masih tidak diterjemahkan secara ‘membumi’ sedangkan Allah SWT sentiasa mengingatkan manusia, berkomunikasilah secara berhemah dan berbincanglah dengan ilmu, bukan emosi dan saling menyalahi.
Salah tetap salah, tetapi yang salah itu boleh diperbetulkan jika faktanya jelas, lojiknya diterima dan caranya tidak menyakitkan. Seperti tulis Imam Al-Ghazali, “cubalah kamu teliti al-Qur’an dan Hadis, nescaya nanti, kamu akan memahaminya.” (Al-Ghazali, Penyelamat Daripada Kesesatan, (terjemahan al-Munqidz min al-Dhalal), Selangor: IBDE, 2017). Itulah sepatutnya dilakukan oleh agamawan untuk ‘membawa balik’ sesiapa sahaja penganut Islam yang sudah dikhayalkan dengan kemajuan ilmu pengetahuan sehingga mencetuskan fenomena Islam Liberal, jika tidak mahu Islam kehilangan nilai dan kesuciannya. Undang-undang atau peraturan yang ketat tidak memadai, kerana ia tidak memasuki dalam ‘hawa nafsu’secara alami dalam proses berfikir dan bertindak. Sebaliknya, pergeseran dan perbalahan semakin besar dan terus menerus dalam kecaman tanpa nokhtah.
Kamarun KH
Recent Comments