Non-Muslims don’t read the Quran.  They don’t read the Hadith.                                                                       They read You.  So, the onus is on you to be a good ambassador of Islam.”                     #KhabibNurmagomedov. Twitter, Tawarikh-el-Islam, 24 Jun 2020.

Saya tidak pasti, petikan itu siapakah yang pertama kali melafazkannya. Tetapi, ia  begitu berkesan tatkala diucapkan oleh seorang jaguh sukan beragama Islam dari Rusia, Khabib Nirmagomedov. Khabib telah telah mengumumkan persaraannya dengan rekod 29-0, ketika berada di puncak kegemilangan dan masih muda (32 tahun). Dia bersara pada 25 September lalu selepas mengalahkan Justin Gaethje dari Amerika Syarikat pada aksi UFC 254.

Persaraan itu ada hubungkait dengan kematian ayahnya, Abdulamanap Nurmagomedov, akibat COVID-19 pada 3 Julai 2020. Beliau berjanji, pertarungan dengan Gaethje adalah pertarungan terakhir, dan janji dibuat selepas tiga hari berbincang dengan ibunya. Ayahnya adalah sumber inspirasi dan kekuatan semangatnya. Ketika berhadapan dengan pertarungan terakhir, walaupun tanpa kehadiran ayahnya, Khabib masih kuat semangat juangnya.

Ia menjadi semakin menarik apabila meletusnya insiden seorang guru dikelar lehernya di pinggir bandar Paris. Samuel Paty, 47 tahun dikelar lehernya di luar kawasan sekolah selepas ia menimbulkan kemarahan para pelajarnya sendiri. Dia menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW sebagai bahan untuk perbincangan “kebebasan bersuara’ walhal karikatur itu pernah menjadi punca rusuhan agama di Perancis pada tahun 2015. Karikatur yang disiarkan dan dilukis oleh mereka yang bekerja di syarikat akhbar satira Perancis Charlie Hebdo.

Rusuhan akibat ‘kemarahan umat Islam’ itu menyebabkan Ketua Pengarang dan sepuluh orang kartunis meninggal dunia. Sepatutnya, Samuel tidak mengulangi ‘kemarahan’ itu, walaupun karikatur itu hanyalah sebagai “case study” di peringkat pelajar sekolah menengah. Ada banyak contoh perihal ‘kebebasan bersuara’ yang boleh dijadikan contoh, bukannya penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, insan yang membawa rahmat kepada seluruh manusia dan meluruskan perjalanan adab manusia.

Bukan sahaja imej atau rupabentuk Nabi Muhammad SAW begitu sensitif untuk dikarrikaturkan, bahkan memotretkan wajah baginda seumpama wajahnya yang asal dilarang oleh Islam. Islam menjaganya kerana tidak mahu Nabi Muhammad SAW dipersendakan, atau dipuja sebagaimana segelintir penganut Kristian memuja Nabi Isa A.S dalam keadaan penyalibannya. Ia bukan sahaja merosakkan ‘manusia yang paling sempurna” bahkan boleh dicemari dengan nilai-nilai mistik dan kekeramatan yang tidak ada dalam ajaran Islam.

Apa yang ada dalam Islam ialah setiap hari kita diminta untuk memuji baginda sebagai ‘pesuruh Allah’ dan ‘orang yang menunjukkan jalan kebenaran’ menerusi kata-kata dan perilakunya dengan berzikir, belajar meneladani apa yang diajarkan kepada kita, berdoa dan memperbaiki amalan seharian bagi memperoleh redha Allah SWT. Baginda bukan ‘anak Tuhan’ dan ‘juru selamat’ yang mengorbankan diri untuk ‘menebus dosa warisan’. Baginda ialah manusia yang dipilih oleh Allah SWT untuk menghapuskan ‘kebodohan, kesesatan dan keadaban manusia’ agar dapat menuju kepada hakikat kehidupan yang jujur, tawakal dan sedar diri sebagai ‘hamba kepada Maha Pencipta’.

Baginda mengajar manusia dengan sabdanya dan juga perilakunya. Baginda berusaha keras untuk membaiki budaya dan pemikiran manusia agar jauh daripada kesombongan, bongkak dan menguruskan ego. Manusia diajar bagaimana berinteraksi dan berterima kasih kepada Allah SWT dan juga mendidik manusia berinteraksi sesama makhluk, adat pergaulan, berjiran tetangga, menghormati tetamu dan menjauhi daripada perkara-perkara yang merosakkan diri (maksiat), juga hakikat sabar dan berjiwa pemaaf. (Jalaludin Rakhmat, The Road to Allah:Tahap-tahap Perjalanan Ruhani Menuju Tuhan, 2007;  Sheikh Fedhlullah Heiri, Jelajah Diri: Panduan Psikologi Spiritual Membangun Kepribadian, 2004;  M Quraish Shihab, Islam Yang Saya Anut: Dasar-Dasar Ajaran Islam, 2018; dan M Quraish Shihab, Islam Yang Saya Fahami:Keragaman Itu Rahmat,2018)

Seorang remaja berusia 18 tahun bernama Abdoullahkh Anzorov dikenalpasti polis Perancis sebagai pembunuh Samuel Paty, Beliau adalah anak imigran yang berasal dari Chechen dan dilahirkan di Moskow, Rusia pada tahun 2002. Semasa berumur 6 tahun, beliau mendapat perlindungan daripada kerajaan Perancis dan tinggal di Wilayah Eure. Dalam insiden tersebut, Abdoullakh mati ditembak oleh pihak polis.

Dalam tempoh sebulan, dikatakan sudah berlaku tiga insiden keganasan di Perancis. Akhir September, dua kakitangan sebuah rumah produksi di Paris cedera diserang  dengan pisau. Pertengahan Oktober, Samuel Paty disembelih hingga mati dan Khamis, 29 Oktober berlaku pula serangan di Nice menyebabkan tiga orang mati.

Awal 2015, akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW. Ia menimbulkan kemarahan umat Islam dan menyebabkan Perancis terpaksa mengawal rusuhan. Dalam insiden menyerang pejabat Charlie Hebdo oleh tiga orang bersenjata dan bertopeng, dua belas orang terbunuh, termasuk ketua pengarang, Stephane Charbonnier (dikenali sebagai Charb) dan 10 orang kartunis (antaranya,  Cabu, Tignous dan Wolinski). Serangan pada 7 Januari 2015 itu didakwa dilakukan oleh kumpulan pengganas Islam. Ia turut merebak kepada serangan di pasaraya Yahudi dan di beberapa tempat.

Sebelum itu, karikatur Nabi Muhammad SAW telah menimbulkan pelbagai rusuhan di Sweeden apabila tiga akhbar menyiarkan hasil lukisan Lars Viks (2007). Awalnya, karikatur itu ditolak oleh Pusat Warisan Budaya Sweeden untuk dipamerkan, tetapi tiga akbar,  Dagen Nyehter, Exspressen dan akhbar harian Mamo,  Sydsvenska Dagbladet menyiarkannya.

Saya pernah terserempak tanpa sengaja dengan satu tajuk ceramah Dr Zakir Naik bertajuk : Can non-Muslim read the Qur’an without accepting Islam?, 18 Januari 2020. Tajuk itu mengajak bukan Islam untuk memahami Islam dengan lebih baik, agar mereka tidak ‘salah faham’ dan tidak melebarkan kemarahan terhadap Islam, atau dikenali sebagai Islamophobia. Islam sudah dikenal pasti sebagai agama yang paling banyak disalahfahami oleh Barat dan penganut-penganut agama lain, termasuk Macron yang membuat kenyataan prejudis itu.

Fobia terhadap Islam bukanlah isu yang muncul beberapa tahun kebelakangan ini. Ia telah muncul sejak penganut-penganut bukan Islam –Yahudi dan Kristian—mengetahui seorang nabi yang akan dihadirkan untuk memperbetulkan akhlak seluruh manusia. Pelbagai petunjuk awal dalam kitab agama-agama wahyu sudah ada penjelasan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT yang bakal membawa rahmat kepada seluruh alam, Rahmatallil ‘Alamin.

Ia bukanlah “konsep politik” sebagaiman dilihat daripada keingian Parti Amanah Nasional (PAN). Dalam tempoh 22 bulan tiada kerangka dan penyemarakan yang jelas. Ia cuma berlegar dalam ‘benak menteri’ dan ‘suku-sakat’nya sahaja. Tidak berpijak di bumi, masih berlegar dalam ‘perancangan’ dan ‘one sentence explaination’ atau  bagasi pak menteri.

Ketika Nabi Muhammad SAW diberikan tugas sebagai utusan Allah SWT, baginda berhadapan dengan tentangan, ugutan dan percubaan membunuh. Namun, kesemuanya berjaya dihadapi oleh baginda, bahkan semakin diperangi oleh Quraisy, semakin ramai memeluk Islam.

Akhirnya, Islam menjadi satu-satu kekuatan di seluruh Arab. Islam turut menguasai hampir separuh Eropah dan negeri-negeri Afrika Utara selepas Nabi Muhammad SAW wafat (632 M). Kini, jumlah penganut Islam adalah penganut kedua terbanyak selepas Kristian. Diandaikan sekitar 20 tahun lagi, jumlah penganut Islam mampu mengambil alih kedudukan penganut Kristian.

Sekitar tahun 1990-an, seorang pemikir politik keturunan Yahudi warganegara Amerika Syarikat mengeluarkan satu rangka pemikiran yang kemudiannya telah meningkatkan lagi fobia terhadap Islam. Mendiang Samuel P Huntington mengemukakan teori ‘clash of civilisation’ di mana Barat bakal berhadapan dengan kemunculan kekuatan peradaban baharu yang datang dari timur, iaitu Islam dan Konfucianisme.

Komunisme sudah berjaya dikerdilkan setelah runtuhnya Tembok Berlin (November 1989) dan hancurnya Kesatuan Republik Rusia Sosialis (KSSR atau Soviet Union) di akhir pentadbiran Mikhael Gorbachev (25 Disember 1991).  Namun, daripada dua peradaban itu, peradaban Islamlah yang menjadi ancaman terbesar bagi peradaban Barat. Maka, untuk Barat, Islam mesti dikeronyokkan sehabis-habisnya kerana fundamentalisme dan konservatisme sedang mengambil peranan untuk menjadikan Abad 21 sebagai abad untuk Islam.

Francis Fukuyama, meramalkan keruntuhan komunisme dan penyatuan Jerman (Perang Dingin) adalah kemenangan besar kepada falsafah ekonomi liberal. Ia membangkitkan pengkaedahan baharu kapitalisme untuk disesuaikan dengan kehendak dunia unipolar di mana Amerika Syarikat adalah ‘polis dunia’ dan ‘pemain utama’. Kekuatan kuasa-kuasa Eropah, terutamanya negara-negara yang pernah menggerakkan kolonialisme semakin mengecil terutamanya Britain, Sepanyol, Belanda, Perancis, Itali dan Jerman. Jerman dan Itali terpukul hebat selepas kalah dalam Perang Dunia II.

Dalam insiden pada 16 Oktober 2020, Presiden Perancis, Emmanuel Macron telah mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan ‘rasa marah’ masyarakat Islam dunia. Reaksi balas, beberapa peniaga negara Arab mengeluarkan produk Perancis daripada rak premis mereka, dan ini menyebabkan Perancis rasa terpukul. Perancis yang berazam untuk ‘memerangi kumpulan pemisah Islam’ akhirnya diberikan kata dua oleh beberapa pemimpin Islam, termasuk Presiden Turki, Recep Tayyid Erdogan.

Masyarakat dunia melihat, cara Macron mengambil tindakan dengan menyelar ‘minoriti Islam di Perancis’ dan merumuskan “Islam sedang mengalami krisis’, adalah berbeza dengan langkah yang pernah dilaksanakan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden tatkala Brendon Tarrant melakukan tembakan rambang ala permainan video PUBG –Player’s Unknown Battleground—berdasarkan keinginannya mempromosikan white supremacy ketika umat Islam bersiap sedia mengerjakan sholat Jumaat berjemaah. Jacinda menemui umat Islam di Christchurch dan membantu mereka dengan kata-kata semangat, manakala Brendon Tarrant telah ditangkap akan diadili secara saksama. Jacinda tidak mengaitkan insiden itu dengan agama.

Macron yang menang pilihan raya Perancis 2017, sebelum itu mengisytiharkan penjajahan Perancis ke atas Algeria sebagai ‘jenayah kemanusiaan’. La République En Marche (LREM), parti yang dipimpin Macron mengalami kekalahan teruk dalam pusingan kedua pilihan raya tempatan di mana Parti Hijau (EELV) memenangi pilihan raya di Lyon, Bordeaux, Strasbourg, Poitiers, Besançon dan Marseille.

Ini bermakna, Macron berhadapan dengan saingan hebat untuk mengekalkan kedudukannya buat penggal kedua. Berdasarkan sistem di Perancis, Pilihan Raya Presiden akan diadakan setiap lima tahun. Ini bererti pada tahun 2021, Macron perlu bersiap sedia untuk merancang strategi kempen bagi memenangi penggal kedua pada tahun 2022.

Secara  statistiknya, Perancis merupakan negara yang mempunyai peratusan penganut Islam yang terbanyak di Eropah, iaitu sekitar 10 peratus daripada keseluruhan penduduknya. Namun, Perancis juga mempunyai sejarah buruk tentang Islamophobia. Dalam tempoh 10 tahun (2010-2020) terdapat 172 insiden keganasan sehingga menyebabkan lebih 283 kematian dan 856 kes kecederaan berkaitan Islamophobia.

Tahun 2012 dilihat sebagai tahun insiden yang terbesar, iaitu dengan 65 kejadian melibatkan 8 kematian dan 8 orang lagi cedera. Tiga tahun selepasnya, iaitu 2015, walaupun ia membabitkan 36 kejadian, tetapi jumlah yang mati adalah tertinggi, iaitu 161 orang dan lebih 300 cedera. Tahun 2016, berlaku 12 kejadian menyebabkan 451 orang cedera dan 89 lagi meninggal dunia.

Berdasarkan laporan terbaharu selepas insiden Samuel Paty, dan kenyataan presidennya, sentiment anti-Muslim meningkat kembali. Dua hari lalu, pihak berkuasa Perancis bercadang menutup sebuah Masjid de Pantin di pinggir Paris yang boleh menampung 1,500 jemaah selama enam bulan bagi memerangi keganasan. Setakat ini, polis telah menahan 15 individu di bawah operasi yang menyasarkan rangkaian ‘pemisah Islam’. Ia dibuat berdasarkan laporan bahawa masjid berkenaan berkongsi video yang dimuatnaik oleh seorang lelaki yang telah ditahan dalam operasi terbabit.

Ketua Masjid de Pantin, M’hammed Henniche berkata, mereka berkongsi video kerana bimbang kanak-kanak Muslim menjadi sasaran sentimen  anti-Islam ketika di dalam kelas semasa belajar. Ekoran kejadian itu, Macron turut mencadangkan draf undang-undang bagi meningkatkan sekularisme di Perancis akan dibuat, dengan tujuan mengekang aktiviti keagamaan dalam kalangan penganut Kristian.

Undang-undang yang bakal digubal itu membolehkan pihak berkuasa menutup mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melanggar peraturan dan nilai negara. NGO berkaitan juga berhadapan dengan audit kewangan yang ketat. Ini membimbangkan NGO Muslim Perancis sama seperti bimbangnya mereka terhadap ucapan Macron yang bakal meningkatkan sentiment Islamophobia kerana ia telah mencetuskan ‘politik kebencian’. (Rujuk: https://www.sinarharian.com.my/article/106354/GLOBAL/Islamofobia-kembali-di-Perancis)

Berdasarkan perkembangan tersebut, nyatalah bahawa bukan Islam akan melihat peri laku umat Islam tanpa cuba memahami Islam sebagaimana  sepatutnya. Ini bermakna, masyarakat bukan Islam ‘rasa marah’ bila sesuatu keganasan dikaitkan dengan agama mereka, sedangkan mereka sendiri tidak faham mengenainya. Mereka tidak membaca kitab agama mereka, sebaliknya boleh menuduh Islam sebagai ‘agama keganasan’ hanya kerana memahami Islam secara harafiah, bukan mengkajinya secara mendalam kandungan al-Qur’an.

Respons dan bantahan antarabangsa terhadap reaksi Macron mengenai kejadian terbaharu itu benar-benar mengundang masalah dalam hubungan diplomatik, walaupun setakat ini belum ada reaksi keras daripada dalam konteks negara, kecuali Turki dan Indonesia. Reaksi keras ketika ini masih di peringkat individu atau pertubuhan bukan kerajaan, termasuklah tindakan peniaga mengeluarkan produk Perancis di premis perniagaan mereka, demonstrasi di Bangladesh dan seruan Persatuan Pengguna Islam Malaysia untuk memboikot produk Perancis.

Dalam tempoh sebulan ‘boikot produk Perancis’ di negara-negara Islam, ia akan menyebabkan ekonomi Perancis terjejas. Apatah lagi kerana Perancis terkenal sebagai pusat pakaian dan kosmetik. Jika setengah satu billion umat Islam menolaknya, maka Perancis akan menerima akibat yang besar. Sebahagian produknya dijual di negara-negara majoriti penduduk Islam, terutama di negara-negara Arab dan Afrika Utara. (Rujuk: https://republika.co.id/berita/qj29go430/kecaman-untuk-macron-terus-meluas-sekarang-dari-afrika)

Di Asia, produk Perancis tidak begitu laris, termasuk jenama kenderaannya, Peugeot, Renault dan Citreon. Dengan tindakan ‘boikot produk Perancis’ angka jualan Yves St Laurent, Louis Vuitton, L’Oreal, Le’ Coste (pakaian lelaki), BNP Paribas (perbankan), Total (minyak enjin dan cari gali petroleum), Orange (telekomunikasi), Engie (tenaga solar), Danone (pembuat makanan seperti biskut), Christian Dior (kosmetik, pakaian, aksesori wanita dan handbag) dan Garnier (produk penjagaan kulit dan pewarna rambut) akan ikut terjejas.

Bagaimanapun, di Malaysia produk Perancis tidak begitu disukai oleh Muslim kerana mereka melihat ianya ada masalah daripada pelabelan halal, kecuali jenama Danonoe (biskut, chipsmore, tiger, Jacobs dan Milna). Produk peralatan dapur, jenama Tefal kurang mendapat sambutan, kecuali dalam kalangan kelas menengah. Setelah terkesan dengam COVID-19 dan adanya gerakan boikot, produk tersebut dijangka akan mengalami kekurangan pembeli.

Bahkan, ada negara-negara Islam tidak bersedia mempamerkan semula produk Perancis di premis perniagaan kendalian mereka selagi Macron tidak membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam setelah Islam didakwa berada dalam krisis. Sejauhmanakah tekanan ekonomi ini akan menyebabkan Perancis sedar akibat keceluparannya, masa akan menentukannya. Ia akan menjadi contoh terbaharu, kebencian tidak mengajar manusia jadi baik, malah kebencian akan mengakibatkan lebih banyak kerosakan.

Apakah benar ketika ini boleh dikaitkan dengan frasa ‘era politik kebencian’? Atau politik identiti sebagai tuntutan martabat dan politik kebencian sebagaimana ditelah oleh Francis Fukuyama bakal menjadi kenyataan sebagaimana tesisnya, kejayaan kapitalisme liberal dan pengakhiran sejarah setelah tamatnya Perang Dingin?

Tulis Francis Fukuyama, Identity: The Demand For Dignity and the  Politics of Resentment (2018), kelompok kiri kurang menaruh minat terhadap persoalan-persoalan ekonomi, sebaliknya lebih cenderung kepada isu-isu identiti seperti LBGT, imigran, warna kulit dan kelompok marginal. Kelompok kanan pula sedang menunjukkan kecenderungan meningkatkan patriotism, nasionalisme sebagai sebuah negara bangsa.

Jelas, Macron sedang berusaha ke arah itu, walaupun berkata, tindakan yang dibuat bukan untuk menghukum keseluruhah umat Islam, tetapi dengan menyediakan draf undang-undang meningkatkan sekularisme, ia adalah langkah ke arah itu secara halus dan penuh perancangan.

KAMARUN KH.

Translate »