Penubuhan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) bertujuan untuk menegakkan syariat Islam dan mempertahankan kebenaran serta kemurnian ajarannya melalui usaha- usaha penyatuan ulama dan penggemblengan tenaga mereka dalam satu wadah perjuangan.

Objektif persatuan yang ditubuhkan pada tahun 1974 ini adalah untuk meninggikan kedudukan dan taraf ulama dikalangan masyarakat, di samping memainkan peranan dengan memberi bimbingan kepada masyarakat untuk membina dan membangun ummah menurut ajaran Islam.

PUM juga bertanggungjawab menjalankan aktiviti bagi meninggikan nilai- nilai akhlak dan rohani masyarakat serta membasmi punca keruntuhan akhlak ummah dalam kehidupan moden yang mencabar.

Selain itu, PUM juga mempunyai objektif untuk menjalankan usaha- usaha penyelidikan dan penerbitan buku- buku ilmiah yang sah di sisi undang- undang serta menghidupkan karya- karya ilmiah daripada khazanah kegemilangan Islam terdahulu. Ulama juga berperanan dalam pencambahan fikiran dalam tajuk- tajuk dan isu- isu yang menyentuh pemasalahan Islam di peringkat antarabangsa.

SEJARAH PENUBUHAN

Penubuhan PUM adalah hasil kesedaran para ulama yang menyertai Kongres Ekonomi Islam pada tahun 1972. Satu perjumpaan membincangkan penubuhannya telah diatur oleh beberapa orang tokoh ulama dan cendekiawan Islam yang menyertai kongres tersebut pada 22 Safar, 1392 H    bersamaan 8 April 1972, di Dewan al-Malik Faisal, Maktab Perguruan Islam (kini  Pusat Matrikulasi UIA) Petaling Jaya, Selangor.

Berikutan daripada pertemuan tersebut, Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim telah dilantik sebagai Penasihat Jawatankuasa Penaja sementara Tuan Haji Nik Muhd. Muhyidin Haji Musa pula menjadi Pengerusi Penajanya.

PUM telah ditubuhkan secara rasmi dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1974. Tuan Haji Nik Muhd Muhyidin Musa telah dipilih sebagai Yang DiPertua PUM yang pertama. Sekarang ini, Haji Abd. Ghani Shamsudin mengetuai PUM sejak Oktober, 1999.

Antara tokoh ulama yang pernah terlibat dengan saf kepimpinan PUM ialah Tan Sri Dr. Abd Hamid Othman, Allahyarham Dato’ Fadzil Mohd Noor, Dato’ Ismail Kamus, Allahyarham Dato’ Ishak Baharom, Dato’ Dr Harun Din dan Haji Ahmad Awang.

AKTIVITI YANG DIJALANKAN

PUM menjalankan beberapa program dan aktiviti sama ada untuk ahli- ahlinya dan juga yang melibatkan masyarakat dan ummah. Sesetengah program dan aktiviti tersebut diadakan secara bulanan dan berkala.

Antara aktiviti-aktiviti tersebut ialah Siri Seminar Madrasah Ulama, Siri Bicara Tokoh, Siri Kuliah- Kuliah Ilmu, Penerbitan Majalah, dan Buku- Buku Ilmiah.

Selain itu, PUM juga turut mengadakan Program bersama Anak Yatim dan Orang Tua, Program Bimbingan Generasi Muda, Program Bina Insan dan Motivasi Akademik serta Khidmat Nasihat Perundangan bagi Kes- kes Syariah dan Sivil.

Sesuai dengan perkembangan sains dan teknologi dengan penekanan terhadap ICT, PUM juga turut mengadakan Kursus IT dan Bengkel Kemahiran Membuat Laman Web. Antara usaha PUM untuk mengembangkan syariat Islam ialah melalui penerbitan majalah dan buku-buku.

SEKRETARIAT MUSLIMAH

Sejarah peradaban dunia akan dianggap pincang jika menafikan peri pentingnya peranan golongan wanita dalam memastikan kelansungan sesebuah negara dan tamadun. Seawal penciptaan manusia lagi, Allah s.w.ttelah menciptakan Hawa sebagai pelengkap kepada kehidupan Adam.

Menyedari akan hakikat inilah, PUM telah menubuhkan Sekretariat Muslimat Persatuan Ulama Malaysia. Sekretariat ini dianggotai dan dikendalikan sepenuhnya oleh sekumpulan muslimah yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Sekretariat ini berazam untuk meletakkan kepimpinan muslimat sebagai satu secretariat yang berpendirian, perkembangan dunia kotemporari serta seiring dengan visi dan misi PUM.

Sekretariat ini terbuka kepada semua golongan Muslim daripada pelbagai lapisan dan peringkat, tanpa menetapkan sempadan umur mahupun bangsa.

Susunan SHARIFAH IBRAHIM

Translate »