Salah satu bahasa dari rumpun Semetik yang digunakan oleh orang yang mendiami Semenanjung Tanah Arab di bahagian barat daya Asia ialah bahasa Arab. Bahasa itu digunakan oleh kira- kira 200 juta bangsa Arab.

Dari segi sejarah, bahasa Arab berasal dari kelaurga Afro-Asia yang telah digunakan di wilayah Sahara sejak abad ke- 8 sebelum Masihi (sekitar 8000 SM). Kini, bahasa Arab mengalami perkembangan pesat. Bukan hanya kosa katanya yang banyak dipengaruhi kata asing, tetapi juga struktur dan gaya bahasanya.

Dahulu, ketika gerakan penterjemahan bermula, bahasa Yunani merupakan bahasa asing yang banyak mempengaruhi bahasa Arab. Istilah Yunani yang banyak diserapkan ke dalam bahasa Arab, seperti falsafah (falsafah), kataghuriyah (kategori), utulujiyyah (teologi) dan iqlim (iklim). Antara bahasa klasik daripada keluarga Afro-Asia yang lain, keaslian bahasa Arab tetap terpelihara, terutama kerana bahasa ini menjadi bahasa agama yang diabadikan dalam al- Quran. Oleh itu, al- Quran merupakan pelindung dan pemelihara bahasa Arab.

STRUKTUR BAHASA ARAB

Huruf Arab memiliki sistem bunyi yang berbeza daripada bahasa Eropah. Bahasa berasaskan Latin memiliki lima vokal, iaitu a, e, i, o dan u, sedangkan bahasa Arab memiliki tiga vokal, iaitu aa, ii dan uu. Huruf Arab memiliki empat harakat (baris penandaan bunyi): fathah, kasrah, dammah dan jazm atau sukun.

Salah satu ciri utama struktur bahasa Arab klasik adalah mendahulukan kata kerja daripada kata nama pada setiap ayat. Hal ini berbeza daripada struktur yang digunakan dalam kebanyakan bahasa moden yang mendahulukan kata nama daripada kata kerja. Bahasa Arab ditulis dari kanan ke kiri, manakala bahasa Latin dari kiri ke kanan.

PIAWAIAN BAHASA ARAB KLASIK

Al-Quran menjadi standard bahasa Arab klasik. Struktur, tatabahasa dan ungkapan dalam Al-Quran dianggap sebagai contoh dan sumber terbaik untuk mempelajari bahasa Arab klasik. Malah sejak abad ke-2 Hijrah, ahli bahasa selalu menggunakan al-Quran sebagai model dalam penulisan bahasa Arab. Al-Quran juga menjadi bahan rujukan paling asli dalam menguji kesahihan bahasa Arab. Kini, bahsa Arab klasik hanya terdapat dalam penulisan ilmiah, termasuk karya keagamaan, sedangkan untuk komunikasi sehari-hari sebahagian besar warga Arab hanya menggunakan bahasa ‘amiyah’ (popular).

KARYA NAHU

Dalam bidang nahu (tatabahasa), karya Imam Sibawaih berjudul Al-Kitab dan karya al- Khalil bin Ahmad al-Farahidi berjudul Awamil dianggap sebagai karya agung. Buku al-Alfiyyah (Seribu Bait) karangan Ibnu Malik merupakan buku tatabahasa yang ditulis dalam bentuk bait syair. Buku ini dianggap sebagai buku nahu paling popular. Buku al-Alfiyyah ini menerima ulasan daripada puluhan ahli bahasa dan mendorong ciptaan ratusan buku penjelasan (syarh) tentangnya.

Di beberapa pondok pengajian di Malaysia, buku ini dijadiakn rujukan baku untuk mata pelajaran nahu. Salah satu manuskrip pelajaran bahasa Arab dalam bidang nahu ialah Awamil. Naskhah ini ditulis dalam huruf Arab dan diterjemahkan ke dalam bahasa Jawa.

HUKUM

Ada dua hukum dalam bahasa Arab, iaitu hukum nahu (tatabahasa) dan morfologi (sarf). Hukum nahu berfungsi sebagai system gabungan pada setiap kata akar dan bentuk kata dalam bahasa Arab. Hukum nahu adalah ilmu untuk mempelajari susunan kata serta perubahan bentuk bunyi pada akhir setiap kata dalam bahasa Arab.

LINGUA FRANCA

Semasa kejayaan Islam, bahasa Arab menjadi bahasa lingua franca, (bahasa yang digunakan sebagai lat komunikasi antara orang yang berlainan bahasa) bukan hanya bagi orang Arab, tetapi juga bukan Arab yang tinggal di seluruh wilayah Islam. Di samping itu, bahasa Arab juga digunakan oleh para ilmuwan dan ulama Islam berketurunan bukan Arab untuk menulis karya agung mereka, antara lain Ibnu Sina (Iran), al-Farabi (Turki), al-Dahlawi (India) dan al-Nawawi al-Batani (Indonesia). Sungguhpun kini bahasa Arab tidak lagi menjadi bahasa yang digunakan secara meluas di luar masyarakat Arab, badan keislaman seperti madrasah dan pondok pengajian masih menghidupkan bahasa ini secara aktif. Bahasa Arab merupakan salah satu bahasa tertua di dunia. Bahasa itu sehingga kini diajarkan di pondok pengajian di Malaysia, misalnya nahu (tatabahasa Arab) dan morfologi (sistem bentuk khat Arab).

KAJIAN BAHASA DAN ILMIAH

Pada abad ke- 18, bahasa Arab merupakan salah satu bidang yang mendapat perhatian khusus para ilmuwan Arab. Pelbagai kumpulan kajian bahasa dan kajian ilmiah diwujudkan. Hal itu bertujuan untuk menghidupkan kembali bahasa Arab Klasik (fushah) yang penggunaannya berkurangan di kalangan bangsa Arab sendiri. Di samping itu, kumpulan kajian itu didirikan untuk mengatasi pengaruh asing kerana penterjemahan karya asing kembali dilakukan oleh orang Arab.

PENGARUH BAHASA ASING

Dalam zaman moden, banyak istilah asing diserapkan ke dalam bahasa Arab. Walaupun terdapat padanan dalam bahasa Arab, istilah asing lebih sering digunakan, misalnya tilfiziyun (TV), radiyu (radio), tilifun (telefon), barlimen (parlimen ) dan kombyuter (komputer). Selain itu, bentuk konjugasi yang menjadi ciri bahasa Arab juga diterapkan dalam istilah asing yang diserap ke dalam bahasa Arab, eperti talfaza, mutalfaz dan tilafaz (semuanya berkaitan dengan TV). Pengaruh bahasa asing ke atas bahasa Arab moden tidak terbatas hanya pada istilah, tetapi juga pada ciri utama bahasa Arab. Struktur kata kerja dan kata nama pada subjek- predikat diterbalikkan, misalnya zara kalintun al-Quds (Clinton mengunjungi Baitulmaqdis) menjadi kalintun zara al-Quds. Surat khabar merupakan medium komunikasi paling utama dalam mempromosikan perubahan struktur bahasa Arab. Malah, surat khabar menjadi salah satu media massa yang memperkayakan unsur serapan bahasa asing ke dalam bahasa Arab.

KARYA SASTERA

Perhatian para ilmuwan Arab Muslim klasik terhadap bahasa Arab sangat tinggi. Hal ini, misalnya, diperlihatkan dalam pelbagai hasil karya, antara lain ialah novel Hayy ibn Yaqzan, Alf Lailah wa Lailah dan Kalilah wa Dimnah. Tiga karya ini merupakan novel klasik berbahasa Arab yang telah diterjemakan ke dalam bahasa Eropah.

ORGANISASI PENGEMBANGAN BAHASA

Salah satu organisasi pertama yang cukup besar pengaruhnya dalam perkembangan bahasa Arab moden ialah ‘al-Majma ‘al-‘Ilmi al-‘Arabi (Akademik Ilmiah Bahasa Arab) yang didirikan di Damsyik pada 1919. Organisasi yang didirikan oleh Kurd Ali (1876-1953; cendekiawan Arab) ini menjadi forum ilmiah para cendekiawan dan tenaga pengajar sastera Arab. Pelbagai penerbitan dan seminar penting diselenggarakan oleh organisasi ini. Organisasi yang serupa juga ditubuhkan di Mesir (Majma al-Lughah al-Arabiah) dan Iraq (Majma al-‘ilmi al-Iraqi).

Kedua-dua organisasi ini memiliki jurnal khusus tentang bahasa Arab yang disebarluaskan ke seluruh system akademik di negara Arab. Gerakan pemodenan bahasa Arab secara besar-besaran dilakukan melalui jurnal ilmiah. Antara yang pertama ialah Lughah al- Arab (Bahasa Arab), sebuah jurnal yang diterbitkan di Baghdad pada tahun 1911. Sehingga kini, ada puluhan jurnal seumpama itu yang diterbitkan oleh lembaga ilmiah dan jabatan sastera di banyak universiti di negara Arab seperti al-Naqid, al-Adab, al-Mada, al-Hadaf, al-Nahj, al-Tariq dan al-Mawaqif.

FAKTOR PERKEMBANGAN

Kosa kata bahasa Arab semakin berkembang.Ada beberapa faktor penyebabnya, iaitu kemaukan sejumlah besar kosa kata bahasa lain ke dalam bahasa Arab, pengambilan kosa kata dialek Quraisy dan suku lain oleh para penyusun kamus Arab dan penulisan berbagai- bagai kosa kata yang jarang digunakan dalam kamus Arab. Kebanyakan kata sinonim yang disebut dalam kamus Arab pada hakikatnya hanya digunakan dalam pengertian metafora dan banyak nama benda menggunakan kata sifat. Berkaitan dengan kamus, ahli bahasa klasik telah mewariskan banyak karya, antara lain Lisan al‘Arabi yang dikarang oleh Ibnu al-Manzur (m.d 1369).

 Susunan MAIMUNAH SULAIMAN

Translate »