Istilah Islam dan Barat digunakan untuk menggambarkan hubungan antara dunia Islam dengan kekuatan Eropah atau Barat. Hubungan kedua duanya telah berlansung lama dan mempunayi sejarah panjang. Hubungan itu berlansung baik secara positif mahupun negatif.

Kedua-duanya mewakili dua peradaban besar yang silih berganti menguasai dunia. Sebelum Islam muncul, dunia Arab sebenarnya sudah dikenali oleh bangsa Yunani. Pada awal abad Masihi, telah ada beberapa suku Arab yang memeluk agama Kristian dan menjadi tawanan Maharaja Byzantium. Merekalah penghubung budaya antara dunia Kristian Timur dengan dunia Arab.

Ketika kekhalifahan Islam meluas ke Syria, Baitulmaqdis dan Mesir, orang Kristian dilayan sebagai masyarakat yang dilindungi di bawah kekhalifahan Islam. Mereka bergaul baik dengan orang Islam. Hasrat Uthmaniyah untuk menguasai wilayah Eropah menjadi salah satu sebab timbulnya konfrantasi antara Islam dengan Barat. Kerajaan Uthmaniyah Turki membuktikan kebesaran Islam di wilayah Eropah. Kekuasaan Uthmaniyah berlangsung selama lebih enam abad (1300-1922) dan memuncak dengan penaklukan kota Constantinople.

ABAD PERTENGAHAN

Hubungan Islam dengan dunia Kristian pada umumnya hampir tiada pada aAad Pertengahan. Selain beberapa siri Perang Salib, hal ini juga disebabkan semakin kukuhnya perkembangan dalaman dunia Kristian Barat. Pada waktu itu, bangsa Norman, Hungary dan sebahagian Slavia sudah menjadi Kristian. Selain itu, amalan berziarah ke Tanah Suci Baitulmaqdis semakin kerap, lebih terurus dan lebih cenderung mencetuskan pertentangan bersenjata orang kafir. Di pihak lain, kekhalifahan Islam sedang mencapai kemuncak kejayaannya dalam hampir semua bidang.

KONFRONTASI

Selain dalam bidang agama, konfrontasi berlaku juga dalam bidang sosial politik. Dalam bidang agama, meskipun Islam sendiri, menurut al-Quran adalah lanjutan daripada agama Kristian, namun penganut Kristian tidak dapat menerimanya – tetap memandang Islam sebagai agama yang sama sekali baru.

Dalam bidang sosial politik, sebelum Islam muncul, hamper seluruh Timur Tengah ialah kawasan Kristian, kecuali Semenanjung Tanah Arab dan Iran. Namun, Islam kemudiannya berkuasa dan melakukan peluasan wilayah hingga ke Eropah dengan menundukkan Sepanyol (zaman Umaiyah), kemudian Constantinople (zaman Uthmaniyah Turki).

MINAT TERHADAP ISLAM

Hubungan Islam-Barat pada pertengahan tidak semuanya mempunyai kesan negatif. Sejak abad ke-10, misalnya Sepanyol telah menaruh minat terhadap dunia Islam, ketika sekumpulan peminat ilmu pengetahuan dari Barat menemui khazanah Islam yang kaya. Mereka juga mula menulis kajian sejarah tentang Islam. Cardinal Toledo Rodrigo Ximenez, pada abad ke-13 misalnya, menulis Historia Arabum (Sejarah Bangs Arab), yang menumpukan pada kegaitan bangsa Arab di Sepanyol. Minat bangsa Barat untuk mengenali kebudayan Islam, antaranya termasuk dalam bidang industri (tenunan) yang kemudian mempengaruhi lahirnya zaman Pembaharuan di Eropah.

PERBEZAAN BUDAYA

Konfrantasi  Islam–Barat juga bererti konfrantasi antara dua corak budaya. Budaya Barat ialah lanjutan daripada budaya Yunani-Rom. Meskipun orang Barat kini umumnya beragama Kristian, namun kekristianan mereka sering  disebut Kristian Barat yang bertentangan dengan Kristian Timur. Kristian Barat ialah Kristian yang telah banyak kehilangan keaslian akar budayanya, oleh sebab telah “dibaratkan”. Hubungan Islam dengan Kristian Timur sepanjang sejarah berlangsung dengan baik dan penuh  toleransi, tetapi tidak demikiian halnya dengan hubungan antara Islam dengan Kristian Barat. Budaya Kristian di dunia Arab dipengaruhi oleh budaya Byzantium yang pernah menguasai Timur Tengah antara abad ke- 6 hingga ke–7.

KRISTIAN BARAT

Hubungan paling buruk Islam dengan Barat terjadi di dunia Kristian Barat. Disebabkan tidak mempunyai maklumat yang cukup tentang Islam. Gereja Rom memandang Islam sebagai agama asing, dan musuh bukan Kristian yang harus dikristiankan atau dikalahkan. Islam juga dipandang sebagai agama yang disebarluaskan dengan pedang atau kekerasan. Inilah pandangan popular tentang Islam di dunia Kristian Barat yang mengakibatkan orang Kristian berusaha mematahkan perluasan kekhalifahan Islam yang bermula di Tours, Perancis, pada 712, oleh Charles Martel (pemerintah Tours).

DIALOG KRISTIAN – ISLAM

Ketika kekhalifahan Islam makin kuat, beberapa tokoh Kristian Barat mengusulkan cara lain untuk mengatasi masalah Islam di Luar Perang Salib. Salah satunya adalah dengan menggaitkan misi bersama Islam dengan Kristian. Pengaruh zaman Pembaharuan Eropah sudah terasa dalam peristiwa ini, dalam kontekas munculnya kesedaran untuk membicarakan sumber agama, baik Islam mahupun agama lain, secar tepat dan kritis. Walaupun memberi kesan buruk kepad hubungan Islam dengan Barat, Perang Salib juga membawa hikmah di sebaliknya. Bangsa Barat dapat mengenal kebudayaan dan peradaban Islam, misalnya dengan penggunaan muzik dalam peperangan bertujuan untuk membangkitkan semangat para tentera.

RECONQUISTA

Permusuhan antara Kristian dengan Islam berlansung di Sepanyol dalam apa yang disebut Reconquista (Penaklukan Kembali). Orang Islam diusir dan dibunuh ketika Sepanyol kembali dikuasai Kristian Barat. Meskipun bermula sejak abad ke-11, usaha ini hanya berjaya sepenuhnya pada1492. Bagi orang Islam, terdapat dua pilihan: memeluk agama Kristian atau dibunuh. Untuk menyelamatkan diri, raamai yang menyembunyikan keyakinan mereka; bersedia dibaptis, tetapi tetap menganut Islam. Mereka kemudian tetap cuba bertahan di Sepanyol hingga 1609, apabila mereka diusir ke Afrika Utara. Dalam meluaskan wilayah, bangsa Barat membawa misi yang dikenali dengan sebutan “Tiga G”, iaitu Gold, Glory, Gospel (Emas, Kemenangan, Injil) yang bererti mendapatkan kekayaan, kemenangan dan turut menyebarkan agama Kristian.

EKONOMI

Salah satu faktor penting yang menambah pengetahuan Barat mengenai Islam dan orang Islam ialah ekonomi. Pada abad ke-10, perdagangan antara Barat dengan Islam sebahagian besarnya dilakukan di Itali, misalnya di Venice, Napoli, Gaeta dan Amalfi. Akhirnya, bangsa Kristian lain masuk ke dalam jaringan ini. Hubungan antara para pedagang Islam dengan krisitian membolehkan mereka saling menghormati kedua-dua pihak.

KOLONIALISME

Sejak pertengahan abad ke-19, apabila kedudukan kerajaan Uthmaniyah Turki semakin lemah di banyak kawasan Islam, Barat sebaliknya, semakin memperlihatkan kekuatannya di pentas dunia. Bangsa Eropah terutama Inggeris, Perancis dan Belanda, meluaskan wilayah mereka ke beberapa wilayah di Timur Tengah dan Lautan Hindi. Dalam konteks ini, hubungan antara Islam dengan Barat ditunjukkan oleh kuatnya proses penyebaran agama Kristian serta wujudnya orientalisme dan kolonialisme di Barat.

KEBANGKITAN ISLAM

Sejak 1960- an, di dunia Islam wujud wacana tentang kebangkitan Islam. Wacana ini wujud bersama dengan kekecewaan banyak tokoh Islam terhadap hasil pembangunan di Negara mereka selepas merdeka. Dalam kaitannya dengan Barat, wacana ini melahirkan pemikiran dan gerakan berbilang dimensi: sebhagaiannya menawarkan kerjasama dan dialog kritis dengan Barat, seperti yang diwakili oleh kaum modenis, sebahagian yang lain menolaknya sama sekali, seperti gerakan Jamaah Islamiah di Pakistan dan Revolusi Islam Iran. Ali Syari’at, pemikir Islam dan Iran. Beliau merupakan salah seorang tokoh Islam moden yang pemikirannya selalu diarahkan kepada kebangkitan dan kesatuan Islam.

ANCAMAN ISLAM

Sejak 1970-an kebangkitan Islam mula menggugat kepentingan Barat di beberapa bahagian dunia Islam, terutamanya berkaitan dengan dua perkara. Pertama, sokongan Barat terhadap Israel dalam konflik Arab- Israel. Kedua, berakhirnya Perang Dingin dengan kemenangan di pihak demokrasi liberal dan kapitalisme Barat dan runtuhnya “Blok Timur”. Kemenangan ini meninggalkan Islam sebagai satu- satunya lawan ideology dan politik Barat yang paling serius. Maka, di Barat mula muncul wacana mengenai “Ancaman Hijau” yang menggantikan “Ancaman Merah”.

Susunan SITI RAFMAH ZAKARIA

Translate »