Sebuah kerajaan Islam pernah didirikan di Parsi (kini Iran) pada abad ke-16, dan menjadi salah sebuah kerajaan besar di dunia Islam. Kerajaan ini bernama Safawiyah, yang ditubuhkan oleh Syah Ismail Safawi pada 907 H/ 1501 M di Tabriz.

Safawiyah, yang berasal daripada gerakan tareka tbernama Safawiyah, yang kemudian menjadi suatu gerakan politik. Kerajaan ini menjadikan aliran Syiah sebagai mazhab rasmi negara.

Safawiyah mencapai kemuncak kejayaannya pada zaman Syah Abbas 1, kerana dengan kekuatan tenteranya, beliau dapat menguasai seluruh Parsi.

Selepas pemerintahan Syah Abas, kerajaan menjadi kian lemah kerana perebutan kuasa. Kerajaan Safawiyah berakhir pada 1732 setelah ditakluk oleh Nadir Syah, ketua salah satu suku bangsa Turki di Parsi.

SYAH ABBAS 1

Kemuncak kejayaan Safawiyah adalah pada zaman pemerintahan Syah Abbas 1 (1588–1629). Baginda berjaya menjadikan Safawiyah kuat semula setelah menjadi lemah sesudah ditinggalkan Syah Ismail Safawi.

Syah Abbas menjalin hubungan perdagangan dan kebudayaan dengan Eropah. Di bawah kepimpinannya, Safawiyah maju dalam bidang ekonomi, ilmu pengetahuan dan pembangunan fizikal.

ISMAIL SAFAWI

Kerajaan Safawiyah ditubuhkan ketika cucu Junaid bin Ibrahim (pemimpin Safawiyah), iaitu Ismail bersama dengan pasukannya berjaya mengalahkan Alaq Koyunlu dan menawan kota Tabriz.

Beliau kemudian menubuhkan kerajaan Safawiyah dan melantik dirinya sebagai pemerintah pertama. Ismail Safawi berkuasa dari tahun 1501 hingga 1524.

Pada 10 tahun pertamanya, beliau berjaya meluaskan wilayah kekuasaannya sehingga meliputi seluruh Parsi.

ISFAHAN

Pada zaman Syah Abbas, ibu kota Safawiyah dipindahkan ke Isfahan. Isfahan membangun dengan pesat dan menjadi kota yang sangat indah dengan bangunannya. Hingga kini masih terdapat banyak bangunan peninggalan daripada zaman keemasan Safawiyah di kota ini seperti Masjid Syah, Masjid Syeikh Lutfullah, Istana Cehil Sutun, dan Istana Ali Kapu.

Isfahan sering disebut oleh orang Iran sebagai “kota separuh dunia” kerana keindahannya. Istana Cehil Sutun di kota Isfahan dahulunya merupakan istana, tempat pemimpin kerajaan Safawiyah menerima tetamu kehormat mereka.

TAREKAT SAFAWIYAH

Kerajaan Safawiyah bermula dengan gerakan Tarekat Safawiyah.

Tarekat ini ditubuhkan oleh Syeikh Safiuddin Ardabeli (1252–1334). Pada zaman Junaid bin Ibrahim (1447–1460), tarekat ini mengambil bahagian dalam urusan politik dan menghadapi perselisihan dengan salah satu suku Turki, iaitu Kara Koyunlu (Biri-biri Hitam).

Junaid kemudiannya bersekutu dengan suku lain, Alaq Koyunlu (Biri-biri Putih ) berjaya mengalahkan Kara Koyunlu.

Bagaimanapun, kerana bimbang disaingi, Alaq Koyunlu menindas semula gerakan Safawiyah.

 

Susunan NORIAH ISA

Translate »