Tokoh ini dilahirkan pada tahun 1911 (1329 Hijrah) di Sungai Rengit, Batu Pahat, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dan Sekolah al-Quran Pemerintah Johor (1919-1923) dan kemudian menuntut di Sekolah Arab al-Attas, Jakarta (1923-1928).
Setelah lulus dari Sekolah Arab al-Attas, dalam tahun 1929 beliau diatur mengajar di sekolah ini dan Kuliah (Sekolah Tinggi) al-Attas, Jakarta sampai tahun 1937. Dalam tahun 1938, ia dikaruniai biasiswa oleh Pemerintah Johor untuk kuliah di Universiti al-Azhar dan Universiti Kaherah (hingga 1948) dan berhasil memperoleh tidak kurang daripada lima (5) ijazah tinggi dari lima fakulti pendidikan di universiti tersebut. Pada 25 September 1991, beliau dianugerahi ljazah Kehormat Doktor Undang-undang dari Universiti Brunei Darussalam.
Sekembalinya Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz dari Mesir pada tahun 1949, beliau diangkat menjadi Pegawai Pemeriksa Sekolah Arab dan Pengelola Majalah Warta Departemen Ugama Johor (sehingga 1952). Setelah itu, dilantik menjadi Kadi Daerah Segamat, Johor (1953-1954).
Dalam tahun 1955, beliau dipinjamkan sebagai Guru Besar di Sekolah Tinggi Islam Malaya, yang baru didirikan bertempat di sebuah istana wakaf Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, Selangor. Dalam waktu yang sama, beliau bersama Tuan Haji Othman bin Haji Mohammad, Ketua Pemeriksa Sekolah-Sekolah Pemerintah Johor (kemudian diangkat menjadi Pengelola Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Brunei Darussalam) telah diundang ke Negara Brunei Darussalam sebagai anggota yang meninjau rekomendasi mendirikan Sekolah Agama Kerajaan Brunei di atas titah perkenan Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa`adul Khairi Waddien. Setelah kunjungan itu, dalam bulan September 1956, sebuah sekolah agama yang bersistem didirikan pertama kali di Negara Brunei Darussalam.
Pada tahun 1956, beliau kembali ke Johor kerana dilantik menjadi Pemangku Wakil Mufti Kerajaan Johor. Kemudian menjadi Kadi Daerah Pontian, Johor (1957); Pemangku Kadi Besar Johor (1958) dan seterusnya ditetapkan jawatan sebagai Kadi Besar Johor (1958-1961). Pada 1 April 1962, beliau dipinjamkan oleh Pemerintah Johor menjadi Mufti Kerajaan Brunei selama tiga tahun. Beliau mengakhiri kontrak dengan Pemerintah Brunei pada 31 Mac 1965 dan kembali bertugas dengan Pemerintah Johor sebagai Wakil Mufti sehingga bersara pada 1 Januari 1967. Pada 8 Mac 1967, beliau melanjutkan tugasan dengan Pemerintah Brunei sebagai Mufti sehingga kembali ke rahmatullah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 3 Februari 1993.
Selama bertugas dengan Pemerintah Brunei Darussalam, beliau terpilih menjadi anggota dalam pelbagai majlis negara atau masyarakat, di antaranya: Anggota Majlis Permusyawaratan Mengangkat Raja; Anggota Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam; Ketua Jawatankuasa Kehakiman, Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam; Ketua Undnag-undang, Dewan Agama Islam Brunei Darussalam; Anggota Dewan Universiti Brunei Darussalam; Anggota Dewan Institut Studi Islam Brunei Darussalam; Anggota Dewan Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan; Anggota Jawatankuasa Menyesuaikan Undang-undang dengan Kehendak Syarak; Anggota Dewan Ujian Pelajaran Ugama; Anggota Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat Fitrah untuk Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam; dan Penasihat bersama Pendirian Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).
Dalam kegiatan keilmuan, beliau juga telah beberapa kali mewakili Negara Brunei Darussalam untuk menghadiri seminar-seminar dan kongres-kongres di tingkat tempatan dan antarabangsa, di antaranya: Muktamar AI-Alamil Islami (di Baghdad, Iraq; di Jakarta, Malaysia; di Mogadishu, Somalia; di Karachi, Pakistan; dan di Famagusta, Turki); Konferen As-Siratin Nabawiyyah di Kaherah; Konferen Antarabangsa lktisad dan Ekonomi Islam di Mekah, Arab Saudi; Konferen Persekutuan Ulama Indonesia di Jakarta, Indonesia; Konferen Ahlil Bait ( MAAB) di Amman, Jordan dan Konferen Menteri-Menteri Waqaf di Jeddah, Arab Saudi.
Sebagai seorang yang arif dan mendalami bidang agama, beliauselalu menyumbangkan idea dan saranan yang disalurkan melalui buku atau kitab, risalah dan makalah, di antaranya:
Kitab Pelajaran Fiqh , Jilid I;
Syair Abu Tammam dalam bahasa Arab (1948);
Bagaimana Agama Islam Masuk ke Brunei Menurut Kitab-Kitab Lama, bahasa Arab (1965);
Bagaimana Kita Mengambil Keuntungan Dari al-Quran (1967);
Kitab Ringkasan Aqidah Ahli Sunnah wal-Jama’ah (1979);
Peribadi Orang Islam (1980);
Corak Pendidikan dalam Islam terhubung dengan Pendidikan di Negeri Brunei Darussalam (1981);
Risalah Didikan Akhlak (1985);
Konsep Melayu Islam beraja di Negara Brunei Darussalam (1985);
Konsep Perguruan Tinggi Islam (1987);
Hukum Nikah Kahwin (1987);
Kisah Hidup al-’Allaamah Syeikh Muhammad Fadzlullah Suhaimi (1991).
Di antara sumbangan beliau yang paling berharga dan diangap penting untuk menjadi panduan hidup umat Islam adalah penghasilan fatwa-fatwa. Sejak tahun 1962 (tidak termasuk tahun 1965-1967) sehingga akhir hayat beliau dianggarkan lebih 600 fatwa (tidak termasuk fatwa yang dihasilkan ketika bertugas di Johor) telah dihasilkan. Semua fatwa itu berasaskan Mazhab Syafie dari segi Fiqh dan Ahli Sunnah wal-Jama’ah dari segi Akidah.
Beliau juga telah menulis beberapa makalah dan memberikan ceramah, antaranya:
“Ringkasan Wirid Bacaan Pagi dan Petang dengan Dalil dari Quran dan Hadis”;
“Dalil dari Quran dan Hadis tentang al-Wirdul Lathif oleh Qutbul Irsyad wad-Da’wah al-’Allaamah Habib as-Sayid Abdullah al-Haddad”;
“Dalil dari Quran dan Sunnah tentang Wirid Asal oleh Qutbud-Dunya al-’Arif Billah asy-Syeikh Abdul Qadir Jailani, Baghdad”;
“Pandangan Islam” (dibukukan dalam empat jilid);
“Ugama Didikan Sosial”;
“Ilmu Tasawwuf dan Hubungannya dengan Islam dan Iman”;
“Pasal Panduan Jurunikah dan Hukum-Hukum Nikah yang Berhubung Dengannya”;
“Pasal Akidah Ahli Sunnah wal-Jama’ah dalam Departemen Pejabat-Pejabat Pemerintah Negara Brunei Darussalam”;
“Bagaimana Kita Mengkaji Fiqh Aliran atau Mazhab al-Imam asy-Syafie Radhiallahu ‘Anhu” .
Tulisan-tulisan beliau telah diterbitkan dan disiarkan dalam berbagai-bagai bentuk dan dalam berbagai media. Ia juga banyak membuat penelitian dan ditebak mengenai masalah-masalah Fiqh dan Aqidah, sehingga kebanyakan hasil tulisan almarhum dijadikan sumber referensi dasar penelitian ilmiah, dan masih disimpan di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz adalah tokoh agama dan ulama yang terkenal dan dikagumi bukan saja di Negara Brunei Darussalam, bahkan di negara-negara Islam yang lainnya. Beliau berjasa dalam mengembangkan dan memperkuat syiar dan pendidikan Islam khususnya di Negara Brunei Darussalam. Melalui fatwa-fatwa, beliau telah turut membentuk dengan efektif kehidupan semua tingkat masyarakat beragama dalam berbagai-bagai bidang di Negara Brunei Darussalam. Kewibawaan dan keahliannya dalam bidang ilmu agama tidak dapat disangkal, kerana beliau sering menjadi fokus untuk menjelaskan masalah keagamaan. Bahkan sehingga beliau kembali ke rahmatullah pun masih ada pihak-pihak (dalam dan luar negara) yang mencoba menghubunginya untuk meminta pandangan dan penjelasan tentang sesuatu hal yang dimusykilkan.
Kewarakan dan ketegasan beliau dalam menegakkan agama adalah berkat tarbiah yang diberikan oleh ayahnya, Tuan Guru Haji Omar (lebih dikenal dengan nama Faqeeh Omar). Sebagai mewarisi bakat orang tuanya, sejak di alam awal persekolahannya lagi belioau sering mendapat tempat pertama di dalam kelas, malah selalu membantu gurunya untuk mengajar kelas yang lebih rendah. Sebab itu beliau disebut muallim (Tuan Guru). Dengan pendidikan dan asuhan agama yang kuat inilah juga menjadi pendorong utama ke arah pembentukan peribadi mulia pada diri beliau.
Daripada tarbiah yang diterima dan diamalkan itu dapat dijadikan teladan dan pengajaran, khususnya tentang sikap dan pendirian dalam menegakkan Islam sebagai cara hidup yang Syumul. Antara sikap almarhum yang patut dicontoh adalah hemat dan teliti dalam semua hal. Misalnya, dalam penulisan atau menjawab pertanyaan agama yang diutarakan oleh khalayak, beliau akan terlebih dahulu membaca seberapa banyak kitab tulisan ulama-ulama Mazhab Syafiei yang muktabar. Setelah mengemukakan beberapa pendapat daripada kitab-kitab tersebut, barulah beliau memberikan ulasan dalam bentuk pandangan atau saranan sahaja, bukan menjatuhkan hukum. Ketelitian dan sikap berhati-hati beliau juga dapat diperhatikan dalam penulisan yang dihasilkan dengan lebih mengutamakan tulisan ulama-ulama muktabar silam dan menolak tulisan bertentuk radikal.
Apabila mentelaah kitab-kitab dan membaca al-Quran, beliau akan mengulanginya sehingga benar-benar faham. Hasil daripada pengamatan dan pemahaman tentang hal yang telah ditelaah, beliau dapat mengingat setiap ayat dalam kitab tersebut beserta baris ayat dan halamannya, lebih-lebih lagi latar belakang penulisnya. Dengan kata lain, dalam soal yang melibatkan keagamaan, beliau begitu tegas. Nyatanya prinsip yang menjadi pegangan beliau adalah berkata benar meskipun pahit, dalam setiap bidang dan tempat. Maka di dalam bentuk apapun diskusi, permesyuaratan atau lainnya, beliau tetap akan membangkang jika sesuatu itu tidak benar walaupun sudah berjam-jam berdiskusi atau bermesyuarat. Ini adalah satu pegangan hidup beliau di dalam fatwanya yang tidak hanya melihat kepada masalah duniawiyah semata-mata tetapi lebih mengutamakan hukum Allah. Maksudnya, beliau tidak berganjak atau kompromi dalam menegakkan hukum Allah. Bahkan beliau pernah diancam dan disihir, namun sedikit pun beliau tidak rasa gentar kerana yakin akan firman Allah yang bermaksud: “Jika kita menolong agama Allah, maka Allah akan menolong kita.”
Sifat cermat dan teliti ini dapat dilihat dalam cara berbelanja dan penyediaan permakanan. Dalam soal belanja sehari-hari, beliau memiliki buku catatan khusus yang mencatat barang-barang yang dibeli, harganya, tarikh dan pembelinya. Bercermat di sini bukanlah tandanya beliau bakhil atau sayangkan harta tetapi agihan di tempat yang perlu sahaja seperti jika beliau memberikan sesuatu kepada anak sulung, anak-anaknya yang lain akan mendapat nilai pemberian yang sama. Ertinya, beliau memberi kasih sayang seadil-adilnya untuk menghindari daripada adanya perasaan iri hati di kalangan anak-anaknya.
Dalam pergaulan dengan orang ramai, beliau lebih suka merendahkan diri, suatu sikap yang memang tersedia tertanam dalam dirinya. Beliau juga adalah seorang yang pendiam, terutama jika tidak ada topik yang penting baginya untuk berbicara. Bertelingkah bukanlah cara dan disiplin beliau. Namun begitu, beliau sering tersenyum dan ceria atau bermanis muka dengan sesiapa pun. Sesiapa yang datang bertemu dengannya akan merasakan seperti teman lama yang baru berjumpa. Begitu juga sering diperingatkan kepada anak-anaknya agar jangan melupakan jasa guru-guru dan selalu mengukuhkan silaturrahim sesama kerabat yang dekat dan jauh.
Beliau melayani para tamu tanpa melihat protokol. Jika di rumah, beliau sendiri akan menghidangkan air dan berusaha mencari apa saja makanan yang dapat disajikan sehingga kadang-kadang tersilap di antara kacang yang mentah dengan yang sudah dimasak.
Salah satu amalan hidup beliau yang dapat dicontohi adalah tabiat suka melakukan amalan sunnah dan zikir yang berpanjangan. Dalam diari peribadi tersusun zikir-zikir dan amalan pada waktu pagi dan petang. Ini termasuk amalan setelah solat Maghrib, Isyak, Tahajud, Subuh, dan pada waktu Dhuha hingga Zuhur. Bagi beliau, amalan zikir dan bacaan al-Quran adalah makanan utama dalam hidupnya. Ada di antara zikir-zikirnya diulang hingga 10,000 kali atau paling kurang 1,000 kali.
Pada petang Rabu, 11 Syaaban 1413 Hijrah (3 Februari 1993), dalam usia 82 tahun, Mufti Haji Ismail Omar kembali ke rahmatullah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan disemadikan di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Negara Brunei Darussalam.
Catatan: Ibnu Khaldun
Recent Comments