Nama lengkap tokoh ini ialah Muhammad Ahmad Mustafa Abu Zahrah, dilahirkan pada 29 Mac 1898 di Mahallah al-Kubra, Mesir. Keluarganya adalah sebuah keluarga yang memelihara adab-adab agama dan nilai-nilai Islam. Dalam suasana tersebut, beliau dibesarkan dan memberi kesan terhadap pembentukan jiwa dan peribadinya.

Ketika berusia sembilan tahun, beliau telah menghafal al-Quran dari guru-gurunya seperti Syeikh Muhammad Jamal, Imam Masjid Dahaniah, Syeikh Muhammad Hika, Imam Masjid Hanafi dan Syeikh Mursi al-Misri, Imam Masjid Syeikh Abu Rabah. Muhammad Abu Zahrah mengakui bahawa permulaan kehidupan ilmiahnya bermula dari pengajian dan penghafalan al-Quran.

Dalam aspek pendidikan peringkat rendah, beliau melanjutkan pengajian di Sekolah Rendah al-Raqiyyah dan ilmu-ilmu moden seperti Matematik dan lain-lain di samping ilmu agama dan bahasa Arab. Abu Zahrah meneruskan pengajian di Kolej al-Ahmadi al-Azhari di Masjid Ahmadi, Tanta pada tahun 1913.

Pada tahun 1916, beliau memasuki Sekolah Kehakiman Syariah, Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1907 dan hanya mengambil pelajar yang cemerlang. Kolej ini dibina bertujuan melahirkan ahli feqah yang semasa dan pratikal yang bersesuaian dengan realiti masyarakat bagi mengisi jawatan hakim syar’i di Mesir.

Kolej mempunyai sistem pendidikan yang lebih teratur dan pelengkap kepada al-Azhar. Di sinilah Muhammad Abu Zahrah dididik terutama dari sudut pembentukan peribadi daripada guru-gurunya di situ seperi Abdul Wahab Khalaf dan juga kehidupan ilmiah dengan membuat penyelidikan dan penulisan.

Beliau belajar di kolej sehingga tahun 1925. Namun malangnya, kolej ini ditutup pada tahun 1923 dan pelajar-pelajar di pindahkan ke Dar Ulum, Kaherah. Hanya beberapa pelajar yang dibenarkan tamat sehingga tahun 1925. Apabila tamat di kolej tersebut, beliau memasuki Institut Latihan Kehakiman untuk menjadi peguam selama setahun. Pada tahun 1927, beliau belajar di Dar Ulum selama enam bulan bagi membolehkan ia memasuki peperiksaan bagi mendapat Sijil Dar Ulum.

Antara guru-gurunya ialah Muhammad Atif Barakah (1872-1924), guru di Kolej Ahmadi, Tanta, Muhammad Faraj Shanhuri (1891-1977), Abdul Wahab Azam (1894-1959) Ahmad Ibrahim Bik, Muhammad Khudri al-Afifi, Abdul Wahab Khalaf, Abdul Jalil Isa, Muhammad al-Banna, Ali Khafif, Husain Wali, Ahmad Amin, Abdul Aziz al-Khuli, dan Mustafa Ana’i.

Muhammad Abu Zahrah pernah bekerja sebagai guru di Pusat Penyediaan Dar Ulum secara kontrak selama setahun (10 Oktober 1927-14 November 1928), kemudian beliau mengajar di sekolah menengah di Kaherah dan Suhaj selama dua tahun, iaitu bermula dari tahun 1930 sehingga akhir tahun 1932.

Pada awal 1933, beliau bertugas di Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar. Beliau mengajar subjek khitabah (pengucapan) dan perbandingan agama. Pada masa ini, beliau telah menerbitkan buku Khitabah, Tarikh al-Jidal (Sejarah Perdebatan), Diyanat al-Qadimah (Agama-Agama Kuno), Muhadarat fi Nasraniah (Isu-Isu Dalam Agama Nasraniah).

Beliau mengajar sebagai guru sepenuh masa di al-Azhar selama satu tahun dan lapan tahun sebagai guru pelawat apabila beliau berpindah ke Kuliah Undang-Undang, Universiti Kaherah. Beliau mengajar di Kuliah ini bermula pada 1 November 1934 di samping mengajar di al-Azhar.

Sejak tahun 1942, beliau menumpukan sepenuhnya di Kuliah Undang-Undang dengan menjadi Ketua Jabatan Syariah sehinggalah persaraan beliau pada tahun 1958. Beliau terus mengajar dan menjadi pembimbing di peringkat Ijazah Tinggi sehinggalah beliau meninggal dunia. Beliau juga pernah menjadi Timbalan Dekan bagi Kuliah Undang-Undang selama lima tahun sehingga beliau bersara pada tahun 1958.

Beliau digelar sebagai imam yang menunjukkan kealiman dalam ilmu. Namun menurut Abdul Halim Jundi, bahawa gelaran imam bukan sahaja menunjukkan kealiman dalam bdang ilmu atau gelaran yang diberikan oleh kerajaan tetapi pendirian dan keberanian dalam menyatakan kebenaran dalam isu-isu masyarakat.

Syeikh Abdul Halim Mahmud, mantan syeikh al-Azhar, menyebutkan bahawa “Jika terdapat masalah dalam Lujnah Fatwa, maka kami akan merujuk kepada Muhammad Abu Zahrah.” Beliau mempunyai pendirian yang tegas terutama dalam isu pengharaman riba. Menurutnya, pengharaman riba adalah perlu bagi memelihara kebajikan umat Islam.

Muhammad Abu Zahrah seorang yang prihatin dan pakar dalam ilmu al-Quran dan tafsir. Semasa zaman beliau ditegah menulis di akhbar dan majalah dan bertugas di universiti, beliau mula menulis mengenai al-Quran dengan mengarang buku Mukjizat al-Kubra al-Quran. Buku ini merupakan mukadimah dalam beliau mengarang tafsir al-Quran.

Bagaimanapun, tafsir ini tidak sempat disempurnakan kerana beliau meninggal dunia terlebih dahulu. Sebahagian tafsir beliau ini telah diterbitkan Dar al-Fikir al-Arabi dalam 10 jilid yang berjudul Zahrah al-Tafasir.

Muhammad Abu Zahrah meninggal dunia pada petang hari Jumaat, 12 April 1974 di rumahnya di Zaitun, Kaherah ketika berusia 76 tahun.

Beliau dikatakan meninggal dunia ketika memegang pen untuk menulis tafsir al-Quran, surah al-Naml, ayat 19 yang bermaksud: “Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Catatan: Ibnu Khaldun

Translate »