Insha’ Allah dalam nota ini akan ditumpukan perhatian kepada beberapa segi pemikiran Ibn Khaldun (Allahu yarhamuh) yang menyentuh pengajarannya berkenaan dengan peradaban dan budaya, ciri-cirinya, faktor-faktor pembentukannya, dan sebab-sebab yang menguatkannya. Perbincangan ini akan dilakukan dengan mengaitkannya dengan perkembangan semasa, dan bagaimana ajarannya ini boleh dimanafaatkan bagi menangani perubahan budaya dan menguatkannya apa lagi dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam zaman globalisasi ini. Percubaan yang bercorak sederhana ini diharapkan akan disempurnakan oleh mereka yang mahir dalam bidang ini. Allahumma amin.
Riwayat hidup secara ringkas(1)
Nama beliau ialah Wali al-Din ‘Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Abi Bakr Muhammad ibn al-Hasan ibn Khaldun, dilahirkan di Tunis tahun 1332, dan meninggal dunia di Kahirah, tahun 1406. Kawasan Khalduniyah di Tunis masih ada sekarang hampir-hampir tidak berubah, dengan rumah yang dipercayai tempat kelahirannya.
Sebagaimana yang beliau sebutkan sendiri dalam riwayat hidupnya (at-Ta’rif bi’bni Khaldun) keluarganya berasal dari keturunan Khaldun yang berketurunan Arab Selatan, yang datang ke Sepanyol dalam tahun-tahun awal masa pembukaan Sepanyol oleh tentera Arab Muslimin; kemudian mereka menetap di Carmona, kemudian berpindah ke Seville dan memainkan peranan penting dalam perang-perang saudara di abad ke 9 itu, dan mereka dianggap termasuk ke dalam satu daripada tiga keluarga yang terpenting dalam kota itu.
Dalam abad-abad berikutnya keluarga Ibn Khaldun itu secara berturutan memegang jawatan-jawatan pentadbiran dan politik yang tinggi di bawah pemerintahan kerajaan Umayyah, al-Murabitun dan al-Muwahhidun; ahli-ahli lain keluarga itu berkhidmat dalam tentera dan beberapa orang dari mereka terkorban dalam peperangan az-Zallaqah (1086) yang buat sementara waktu menghentikan pengambilan kembali Sepanyol oleh tentera Kristian. Bagaimanapun selepas kejatuhan Seville, keluarga Ibn Khaldun itu berpindah ke Tunis, di mana Ibn Khaldun dilahirkan, dan juga di mana beliau mendapat pendidikan awalnya. Di sana juga, semasa dalam umur belasan tahun beliau masuk dalam perkhidmatan Sultan Mesir iaitu Sultan Barquq; bagaimanapun minatnya kepada ilmu dan pendidikan menyebabkan beliau meninggalkan perkhidmatan itu dan berpindah ke Fez; di sini timbul lama suasana tidak tenang dari segi politiknya yang ditandai dengan persaingan dari segi politik yang memberi kesan atas kerjayanya.
Masa yang tidak aman ini termasuk ke dalamnya masa tiga tahun yang di dalamnya beliau berlindung di kampung kecil Qalat ibn Salamah di Algeria, di situlah beliau berpeluang untuk mengarang kitab al-Muqaddimahnya yang terkenal itu, yang berupa jilid pertama dari kitab sejarah dunia yang menjadikan beliau mendapat nama yang kekal abadi antara para ahli sejarah, sosiologi dan falsafah. Keadaan tidak menentu dalam kerjayanya masih berterusan, dengan negeri Mesir menjadi tempat ia menetap dalam 24 tahun terakhir dalam umurnya. Di sini beliau hidup dalam keadaan mendapat kemasyhuran dan penghormatan sehingga beliau dilantik sebagai Ketua Hakim dalam mazhab Maliki dan juga guru yang memberi kuliah di Universiti al-Azhar yang masyhur itu; tetapi dikatakan kedengkian menyebabkan beliau dipecat dari jawatannya sebanyak lima kali.
Dalam hidupnya Ibn Khaldun tepaksa berpindah dari suatu istana kepada sebuah istana yang lain, kadang dengan hasratnya sendiri, kadang-kadang terpaksa melakukan demikian kerana rancangan seteru-seterunya atau raja-raja yang berkuasa penuh. Beliau mendapat banyak pengajaran daripada hubungannya dengan para pemerintah, duta-duta, ahli-ahli politik dan para ulama dan sarjana di Afrika Utara, Sepanyol di bawah kerajaan Islamnya, Mesir, dan lain-lain wilayah Islam.
Kitabnya yang terkenal sekali ialah al-Muqaddimah (“Pendahuluan”) yang merupakan kitab terbesarnya (“masterpiece”nya) dalam persuratan tentang sejarah, falsafah dan sosiologi, termasuk pendidikan. Tema utama dari kitab yang “monumental” ini ialah untuk mengecamkan fakta-fakta psikologi, ekonomi, alam sekitar, dan kemasyarakatan yang memainkan peranan dalam proses memajukan dan mengkedepankan peradaban manusia dan perjalanan sejarahnya. Beliau membuat analisis tentang dinamika hubungan kumpulan-kumpulan dan menunjukkan bagaimana kesetiakawanan, atau perpaduan sosial (al’-asabiyyah) melahirkan satu tamadun baru dan juga kekuasaan siasah. Ia mengecamkan adanya ulangan yang berlaku hampir-hampir sebagai rentak yang sama dengan berulang-ulang dalam proses nai turun dan jatuhnya peradaban manusia dan beliau membuat analisis tentang faktor-faktor yang membawa ke arah yang demikian.(2).
Pandangan-pandangan beliau yang revolusionari dan asli itum menarik perhatian ulama dan sarjana Islam, dan juga para pemikir Barat. Dalam pemerhatiannya tentang pengajian sejarah beliau berupa sarjana pertama, pengasas, dalam meletakkan laporan-laporan sejarah di bawah dua ujian iaitu ujian kemanasabahan pada akal dan ujian undang-undang sosial dan fisikal yang diperhatikan.Beliau menunjukkan ada empat perkara dalam penelitian dan analisis laporan sejarah:(3)
menghubungkan peristiwa-peristiwa satu dengan yang lainnya melalui kaedah sebab dan musabab;
mengambil kiasan antara yang telah lalu dengan apa yang berlaku masa hadhir;
mengambil kira kesan dari alam sekitar dalam apa yang berlaku;
mengambil kira kesan daripada keadaan-keadaan perekonomian dan perkara-perkara yang diwarisi.
Ibn Khaldun memulakan pengajian sejarah secara kritikal. Beliau memberi pengajian dan penelitian secara analisis ke atas peradaban manusia, permulaannya, faktor-faktor yang membawa kepada pembangunannya, dan juga faktor-faktor yang membawa kepada kejatuhannya. Dengan itu nampaknya beliau mula mengasaskan satu ilmu baharu, iaitu ilmu berkenaan dengan pembangunan sosial atau sosiologi sebagaimana yang dipanggil sekarang ini.Beliau menulis demikian: “Saya telah menulis dalam bidang sejarah sebuah buku yang di dalamnya saya bincangkan sebab-sebab dan kesan-kesan pembangunan dan perkembangan negara-negara dan peradaban-peradaban, dan saya ikuti satu cara yang bukan biasa dilakukan orang bagi menyusun bahan-bahan kitab itu, dan saya ikuti jalan yang bukan biasa dilakukan dan yang baharu dalam menulisnya”. Dengan memilih kaedah atau cara istimewa dan baharu dalam analisis , ia mencipta dua ilmu baharu iaitu Historiologi atau analisis dan kajian sejarah sebagai ilmu khusus dan juga sosiologi sekaligus.
Beliau berhujah menyuatakan bahawa sejarah adalah tertakluk kepada undang-undang sarwajagat dan ia menyatakan kriteria untuk kebenaran sejarah.
“Kaedah untuk membezakan antara apa yang benar dan apa yang palsu dalam sejarah ialah berdasarkan kepada kemungkinannya berlaku atau mustahilnya berlaku. Ertinya ialah: kita mesti memeriksa masyarakat manusia dan bezakan antara ciri-ciri yang bersifat asasi yang penting dan yang tidak boleh terpisah daripadanya dalam tabiat kejadiannya dan apa yang bersifat mendatang, dan yang tidak perlu diambil kira, dengan mengenali secara lebih jauh lagi apa yang tidak mungkin menjadi milik baginya.Kalau kita lakukan ini, maka kita ada peraturan untuk membezakan kebenaran sejarah daripada kesilapan dengan cara kaedah pendalilan (‘kaedah demonstratif’) yang tidak ada syak lagi padanya.Ianya dasar yang murni yang dengannya ahli sejarah boleh mengesahkan apa-apa yang mereka laporkan.” (4).
Oleh kerana beliau memberi penekanan kepada akal fikiran dan keperluannya dalam menghakiki sejarah dan peristiwa-peristiwa kemasyarakatan, setengah sarjana mendakwa beliau cuba menolak pengetahuan agama yang biasa dan konvensyenal dan menggantikannya akal fikiran dan falsafah rasional. Ini tidak berasas samasekali.Boleh diperhatikan bahawa setengah alirah erfikir mengajar perkara-perkara yang tidak rasional tetapi ini bukan sifat Islam yang selalu memberi penekanan kepada pemerhatian dan pencerapan serta pemikiran, dan iana memberi peringatan kepada mereka yang tidak membawa iman kerana tidakmenggunakan akal fikiran dan renungan. Dalam Surah al-Baqarah: ayat 164 terdapat ayat yang bermaksud:
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dalam pergantian siang dan malam, dan berlayarnya kapal-kapal melalui lautan untuk faedah umat manusia, dan hujan yang Tuhan turunkan dari langit, dan kehidupan yang diadakanNya melaluinya kepada bumi yang mati, dan haiwan-haiwan semua jenisnya yang ada di serata bumi, dan perubahan angin dan awan yang mengekori yang ditundukkan antara langit dan bumi – (di dalam ini semuanya) sesungguhnya ada tanda-tanda bagi orang-orang yang bijaksana dan berfikir”. Dan dalam (2.170), ada ayat yang bermaksud:” Bila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang Allah telah wahyukan”. Mereka berkata: ‘Tidak: kami akan ikuti jalan-jalan datuk nenek kami”. Apa? walaupun datuk nenek mereka tidak mempunyai mempunyai ilmu kebijaksanaan atau akal serta bimbingan?
Tentang kaedah penyelidikan beliau memberi penekanan tentang perlunya perkara-perkara kemasyarakatan dan peristiwa sejarah diberi analisis secara saintifik dan objektif. Beliau menyatakan bahawa semua yang berlaku dalam sejarah dan mesyarakat itu bukannya hasil daripada perkara-perkara yang berlaku secara berkebetulan, tetrapi semuanya dikawal oleh undang-undangnya yang tersendiri, undang-undang yang boleh dicari dan didapati dan kemudian boleh diaplikasikan dalam penyelidikan tentang masyarakat, tamadun dan sejarah.Beliau menyatakan bahawa para ahli sejarah membuat kesilapan dalam penyelidikan mereka tentang peristiwa sejarah kerana tiga faktor.
kejahilan mereka tentang hakikat dan keadaan peradaban dan umat manusia;
sikap prejudis atau prasangka mereka;
sikap mereka bertaklid mengikut laporan-laporan yang diberi olehorang lain tanpa usul periksa.
Ibn Khaldun menunjukkan bahawa kemajuan yang sebenarnya serta pembangunan datang melalui kefahaman yang tepat tentang sejarah dan kefahaman yang tepat dan benar itu boleh dicapai melalui pemerhatian terhadap tiga perkara penting.
Seseorang ahli sejarah itu hendaklah jangan ada prasangka dengan apa cara sekalipun samaada pro atau kontra terhadap sesuatu perkara samaada manusia atau idea.
Seseorang itu hendaklah mengesahkan dan memeriksa laporan-laporan yang didapati. Ia hendaklah mempelajari apa yang boleh dipelajari seboleh-bolehnya berkenaan dengan ahli-ahli sejarah dan laporan-laporan yang didengari dan dibaca, dan seseorang itu hendaklah memeriksa akhlak mereka yang berkenaan serta adakah mereka itu beramanah dalam ilmu sebelum diterima laporan-laporan mereka.
Seseorang itu hendaklah jangan membataskan sejarah kepada penelitian tentanhg sejarah politik dan ketenteraan sahaja ataupun berita-berita berkenaan dengan para pemerintah dan negara-negara sahaja.Ini kerana sejarah bukan sahaja terdiri daripada yang demikian sahaja bahkan terdiri daripada penelitian terhadap suasana-suasana kemasyarakatan, keagamaan dan perekonomian.
Al-Muqaddimah itu dikenali sebagai kitab yang penting semenjak dari masa hayat pengarangnya sendiri lagi.Jilid-jilid kitabnya yang lain itu berbicara berkenaan dengan sejarah dunia – Kitab al-‘Ibar – membicarakan sejarah bangsa Arab, sejarah para penguasa semasa, penguasa-penguasa Eropah sezaman dengannya, sejarah Arab zaman purba, Yahudi, Yunani, Rom, Parsi purba, dan sejarah islam, dan sejarah Mesir dan sejarah Afrika Utara, terutamanya sejarah bangsa Barbar dan kabilah-kabilah yang berdekatan. Jilid terakhir al-Tasrif, sebahagian terbayaknya membicarakan hal kehidupan beliau sendiri. Sebagaimana halnya dengan kitab-kitabnya yang lain, ianya ditulis dari segi perspektif analitikal dan memulakan cara baharu dalam menulis seni biografi. Kitab yang ditulisnya tentang ilmu hisab tidak didapati.
Ringkasnya, pengaruh Ibn Khaldun dalam sejarah, falsafah sejarah, sosiologi, sains politik, dan pendidikan -pendeknya jasanya dalam epistemologi Sunni – kekal dan mendominasi sampai ke zaman kita ini. Beliau juga diakui sebagai pemimpin dalam menulis biografi dan pembaharu dalam pendidikan dan psikologi pendidikan serta penulisan persuratan yang indah dan tinggi kualitinya dalam Bahasa. Buku-bukunya telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa Barat dan Timur, dan menimbulkan pengaruh dalam perkembangan ilmu-ilmu. Al-Muqaddimahnya ada terjemahannya dalam Bahasa Melayu (terbitan DBP) dan Bahasa Indonesia selain daripada terjemahan Inggerisnya yang terkenal oleh Franz Rosenthal dalam tiga jilid itu.
Berkenaan Dengan Naik Turunnya Bangsa-Bangsa(5)
Berkenaan dengan tajuk ini Ibn Khaldun menyatakan bahawa bangsa-bangsa dan peradaban mengalami naik turunnya dalam bentuk pusingan. Titik-titik yang menghubungkan pusingan atau gliliran ini kerapkali terbayang dalam perangai dan tabiat para pemimpin atau penguasa dan juga tabiat dan perbuatan ahli masyarakat yang berkanaan. Pada pendapat beliau pusingan edaran itu selalu ada dalam masyarakat manusia dan sejarahnya, maka yang menjadi perkara penting ialah usaha untuk mengecam hubungan dan saling kait mengait antara faktor-faktor yanmgt berkenaan itu. Inilah kerja yang dilakukan pertama kalinya dalam sejarahj oleh seorang pemikir, iaitu Ibn Khaldun. Beliau melakukan tugas ini dalam kitab yang kita bicarakan iaitu al-Muqaddimah.
Berkenaan dengan buku penting ini Arnold Toynbee menyatakan bahawa ianya adalah “A Philosophy of history which is undoubtedly the greatest work of its kind that has ever yet been created by any mind in any time or place”(5) iaitu: “satu falsafah sejarah yang tidak syak lagi merupakan karya teragung dalam jenisnya yang pernah dihasilkan oleh mana-mana akal di manapun dan bila-bila pun”.
Kehidupan Ibn Khaldun yang penuh dengan pelbagai macam peristiwa naik turun dan kegoncangan itu, yang di dalamnya beliau berusaha sampai mendapat kedudukan perdana menteri, dan disatu pihaknya pula beliau dipenjarakan beberapa tahun oleh kerana tuduhan-tuduhan, dan kadang-kadang kerana cubaan untuk menentang pemerintah. Kerjayanya selama suku abad itu yang didahului dengan pengajian yang mendalam tentang ilmu-ilmu yang ada pada zamannya termasuk Quran dan tafsirnya penuh dengan pelbagai macam peristiwa dan antara huraian-huraian yang penting tanpa tara ialah huraiannya berkenaan dengan naik turunnya bangsa-bangsa.
Pada beliau naik turun bangsa-bangsa berlaku sama sahaja pada mereka yang Muslim dan juga yang bukan Muslim. Beliau mengkaji sejarah bangsa-bangsa yang ada pada zamannya dan juga sejarah zaman lampau mereka. Beliau melawat banyak tempat-tempat yang menjadi pusat kekuasaan pada zamannya yang terletak dalam dinasti-dinasti Islam.
Antara faktor-faktor yang membawa kepada kekuatan bangsa-bangsa itu termasuklah bebarapa faktor yang – dengan izin Ilahi – membawa kepada kekuatan dan kejayaan. Antaranya ialah:
Faktor Asabiyyah atau Perpaduan Sosial atau Kesetiakawanan. Ibn Khaldun memandang penting perpaduan sosial dan etika sosial yanhg mengikat hubungan manusia dalam sesuatu bangsa atau umat itu menjadi kuat. Berhuhungan dengan ini Ibn Khaldun menyuatakan bahawa asabiyyah yang ditentang oleh Syara’ dan Nabi Muhammad saw itu ialah ‘asabiyyah yang berlaku dalam hubungan dengan penindasan dan perbuatan zalim, bukannya zat ‘asabiyyah itu sendiri, sebagaimana juga keadaannya dengan sifat marah. Maka ‘asabiyyah yang terpuji itu didokong oleh hadith yang dinukilnya bdalam al-Muqaddimah yang bermaksud: “Allah tidak mengutus seorang nabi melainkan ia berada dalam lindungan kekuatan bangsanya” (illah fi man’ati qaumihi). Dengan itu beliau menafsirkan bahawa hadith yang menyebut “para imam itu mesti dari golongan Quraisy” itu maksudnya bukan hanya Quraisy yang menjadi kabilah Nabi saw tetapi mana-mana golongan yang mempunyai kasih yang kuat kepada kaumnya dan kerjasama dengan mereka dan yang lain-lain yang berhubungan dengan mereka dalam hidup dan sejarah serta pengelaman hayat dan maut, yang menyebabkan adanya kerjasama dan perpaduan antara mereka ini. Maka beliau memandang ini faktor yang sangat penting dalam masyarakat yang dikehendaki.
Walaupun ini bermula dengan hubungan keluarga dan kabilah, akhirnya ia termasuk ke dalamnya mereka yang ada hubungan dengan apa cara sekalipun dengan mereka yang mempunyai asabiyyah yang awal itu. Beliau menyatakan bahawa “asabiyyah datang hanya daripada pertalian darah ataupun sesuatu yang sama seperti itu.
Konsep asabiyyah yang digunakan oleh Ibn Khaldun dalam membicarakan kekuatan dan keberkesanan hidup serta kejayaan menjunjung agama dan tamadun melalui asabiyyah ini perlu dimenafaatkan oleh Muslimin untuk membina kekuatan sesama mereka dan kemudian pihak lain bersama-sama dengan mereka dalam hal ini bila mereka menunjukkan contoh yang baik dan berguna melalui perpaduan antara sesama mereka.
Maka usaha-usaha untuk menguatkan perpaduan melalui konsep asabiyyah ini perlu dijalankan dan faktor-faktor yang mele,mahkannya mesti dielakkan supaya dengan itu kekuatan bangsa dan negara akan terjamin dan agama boleh dijayakan dengan baik. Dalam hubungan dengan agama keadaan sedemikian rupa sehingga beliau menyatakan bahawa “tanpa asabiyyah syariat-syariat agama tidak akan berjaya dan berkesan dalam hidup manusia (la batalat)”.
Quwwatul-hayah.Antaranya ialah apa yang boleh disebutkan sebagai Quwwatul-hayah: iaitu semangat kuat untuk hidup.Beliau menyatakan bahawa “Bilangan, senjata, dan taktik-taktik perang yang sesuai boleh memberi jaminan, tetapi kemenangan dalam perang adalah hasil daripada faktor-faktor psikologi dan khayalan manusia”(6) Dan ini boleh kita fahami daripada keimanan dan keyakinan Muslimin sebagaimana yang berlaku pada zaman awal Islam yang menyebabkan mereka mencapai kemenangan dalam peperangan dengan pihak musuh yang jauh lebih banyak bilangan tenteranya dan lebih banyak persiapan senjatanya dan kemahirannya sebagai bangsa-bangsa yang hidup dalam tamadun yang hidup menetap. Dari segi sejarah ini mungkin juga datang daripada hasrat yang kuat untuk mendominasi pihak lain sebagaimana yang berlaku dalam sejarah Iskandar Zulkarnain yang mencapai kemenangan satu demi satu alam sejarah dunia purba.Yang penting ialah keyakinan yang kuat yang keimanan hidup dalam mengabdikan diri kepada Allah dan mencari keredhaanNya dengan sebenarnya. Dan dalam sesuatu bangsa selain daripada keimanan ialah keyakinan untuk melihat bangsanya mulia dan berjaya dalam jalan Allah dan kerja-kerja yang mulia dalam membina tamadun dan paradaban.
Faktor Kekuatan Dalam berfikir Dan Menjayakan Budaya Ilmu.Ibn Khaldun memerhatikan bahawa umat Islam mendapat kedudukan yang mulia dan tinggi dalam dunia ini bila mereka mempunyai kemampuan yang tinggi dalam berfikir dan juga mempunyai kemampuan yang tinggi dalam ilmu pengetahuan – yang ditonton oleh keimanan mereka yang tinggi dan ketaqwaan mereka kepada Allah dalam kegiatan berfikir dan ilmunya. Dalam kitab Muqaddimahnya dalam bab yang membicarakan ilmu pengetahuan beliau menyebut tentang perkambangan ilmu-ilmu dalam Islam bermula dengan ilmu berkenaan dengan Quran, Sunnah, hukum, akidah, akhlak, tasawwuf, sampai kepada ilmu perubatan, ekonomi dan seterusnya yang memungkinkan tamadun Islam berkembang dalam dunia dengan jayanya mengembangkan ilmu-ilmu Syariyyah dan juga ilmu-ilmu akliah.Muslimin memainkan peranan memberi kefahaman tentang ilmu yang asli dan juga olahan yang mereka buat daripada warisan tamadun yang terdahulu dalam perubatan, falsafah, fisik, kimia dan seterusnya. Ilmu-ilmu itulah yang menyebabkan kehidupan Muslimin dalam tamadun mereka dengan jayanya dilihat dari segi duniawi dan juga keagamaan.
Berhubungan dengan akal dan berfikir beliau mempunyai huraian yang sangat menarik. Beliau membuat perbezaan antara akal nazari yang membuat teori-teori dan akal tajribi yang mahir melalui percubaan-percubaan dalam hidup serta akal tamyizi yang cekap boleh membezakan antara sesuatu dengan sesuatu yang lain. Beliau berbicara bagaimana cara berfikir yang bermatlamat yang dimisalkannya dengan usaha hendak mengadakan bumbung atau atap rumah untuk perlindungan daripada panas dan hujan. Beliau menyatakan bila seseorang berfikir tentang bumbung dia akan terfikir bahawa sebelum bumbung ada mestilah ada tiang dahulu dan dinding di mana bumbung itu boleh diletakkan di atasnya. Bila siap dinding dan tiang baharulah difikirkan bumbung. Tetapi sebelum ada tiang dan dinding mestilah ada dasarnya dahulu. Maka perlulah difikirkan tentang lantai atau dasarnya tempat tiang dan dinding itu boleh dibina. Dengan itu mestilah lantai atau tanah itu diusahakan dahulu, kemudian baharulah dinding dan tiangnya, kemudian baharulah bumbungnya dengan tertib yang betul.itulah berfikiran mengikut matlamat dengan tepat namanya. Dan itulah berfikir orang yang berjaya. Beliau menyebutkan bagaimana ada orang yang boleh berfikir sampai tiga tahap, empat dan lima tahap, demikian seterusnya dengan melihat mata-rantai perkara-perkara yang berkaitan, sampai kepada natijahnya. Semakin banyak tahap-tahap dalam berfikir boleh dijangkau oleh seseorang semakin tinggi kemanusiaannya dan semakin sedikit tahaptahap dalam tangga pemikiran yang ia boleh lihat semakin rendah tarap kemanusiaannya. Maka melatih diri berfikir dengan cekap dan lanjut sedemikian ini menjadikan seseorang itu mulia kedudukannya.
Beliau juga berbicara berkenaan dengan falsafah menulis. Bila seseorang itu terlibat dalam menulis maka ia terlibat dalam satu kegiatan yang membabitkan tangannya yang bergerak, daya khiyalnya yang membentuk huruf sesuai dengan maksudnya, dan nafs al-natikahnya iaitu segi dirinya yang memahami makna dan ilmu, aspek akalnya, memahami makna yang hendak diungkapkan. Dengan seseorang itu menulis maka ia berpindah dari satu kepada paras lainnya dari tangan ke khiyal ke nafs natikahnya, dari nafs natikahnya ke khiyalnya kemudian ke tangannya yang bergerak untuk mencatit lambang makna bagi ilmu. Orang yang terlibat dalam penulisan begini dengan berfikir dan memahami makna yang ada dalam nafs natikahnya kemanusiannya menjadi tinggi lagi mulia. Dengan huraiannya tentang falsafah menulis begini kita fahamilah bagaimana pentingnya menulis dan membaca serta kegiatan yang terlibat dengannya sebagaimana yang dimaksudkan dalam surah yang mula-mula diwahyukan dalam Islam. Ertinya surah itu adalah surah yanhg berbicara berkenaan dengan proses yang pokok dan asasi dalam meninggikan martabat dan darjah manusia dan juga itu adalah kegiatan yang pokok dalam perkembangan tamadun manusia.
Dalam hubungan dengan ilmu juga ibn Khaldun menyebut bagaimana ilmu perlu menjadi sebagai malakah atau kemahiran dan kecekapan yang sedemikian mendalam dalam seseorang dalam sesuatu ilmu sampai menjadi tabiat kedua baginya. Beliau menyatakan bahawa malakah ini berlaku dalam ilmu dengan manusis me,mbuat latihan menggunakan fikiran dan percakapan dalam ilmu dengan perbincangan dan pertukaran pendapat dan maklumat. Beliau menyatakan demikian:
Cara yang paling mudah untuk memperoleh “malakah” ini ialah dengan jalan melalui latihan lidah guna mengungkapkan fikiran-fikiran dengan jelas dalam diskusi dan perdebatan dalam masalah-masalah ilmiah. Inilah cara yang mampu menjernihkan persoalan …
Kemudian beliau membezakan mereka yang mendengar sahaja pengajian dan mengamalkan hafalan tanpa menggunakan kecekapan berfikir dalamunazarah dan juga tanpa menggunakan kemahiran dalam bahasa.
Kesabaran dan ketekunan merupakan sifat yang menguatkan da menjayakan umat dan tamadun, dan ini dihuraikan oleh Ibn Khaldun tentang bagaimana pada tahap-tahap awal dalam perkembangan bangsa-bangsa sifat-sifat sabar dan tekun dalam perjuangan itu kuat, dan itu menjadikan bangsa atau daulah itu kuat. Tetapi bila perkembangan berlaku dalam tahap-tahap yang kemudian selepas kejayaan yang awal itu timbul cara hidup mewah yan melalaikan dan sifat sabar dan tekun dalam perjuangan itu beranmsur-ansur hilang dan manusia kebanyakannya menjadi manja. Sebab itu maka sesuatu daulah atau dinasti itu kalah kemudiannya kerana sifat perjuangan itu luntur dengan adanya cara hidup yag manja dan senang. Ulasan Ibn Khaldun yang demikian memberi pengajaran yang penting kepada kita supaya kita berjaga-jaga dalam hidup supaya tidak menjadi lemah dan tidak bermaya dalam perjuangan kerana perkembangan tamaddun yang berlaku sedemikian itu. Sifat berjaga-jaga sedemikian ini sangat dianjur dalam Islam; sebab itu dalam huraian tentang kesabaran kita berhadapan dengan hakikat bagaimana kesabaran itu diperlukan oleh manusia dalam masa senang, susah, masa taat, masa derhaka (untuk kembali kepada taat), demikian seterusnya.
Ibn Khaldun menyebut dalam hubungan dengan perkembangan tamadun pada peringkat kemudian bila ianya akan musnah maka ditandai dengan beberapa perkara: banyaknya kemewahan, kehidupan penuh dengan hiburan dan perhiasan, kehidupan cara homoseks di kota-kota, politik wang, kerana mereka yan memimpin tidak mampu lagi mendapat kesetiaan dengan sifat-sifat utama yang dibuktikan dan mengajak orang lain kepada perjuanganh, maka berlakulah politik wang. Dengan itu moral masyarakat merosot. Inilah antara pengajaran yang patut diambil ingat dari penerangan ibn Khaldun.
Antaranya beliau juga menyebut bagaimana pentingnya adat-adat kebiasaan yang baik dan kuat yang perlu diterapkan dalam masyarakat dan kehidupan untuk menjadi bahan penguat masyarakat dan tamadun supaya tidak runtuh, bi izni’
Dalam hubungan dengan adat kebiasaan hidup dan kemahiran-kemahiran yang menguatkan tamadun beliau menyatakan.
Orang-Orang Timur secara umumnya jauh lebih mantap dan teguh berbanding dengan masyarakat Maghribi dalam keahlian memberi pengajaran ilmudan dalam keahlian-keahlian lainnya. Bahkan ramai orang-orang Maghribi yang pergi ke Timur dalam mencari ilmu pengetahuan mempunyai anggapan bahawa secara umumnya akal fikiran orang-orang Timur adalah lebih sempurna daripada orang-orang Maghribi. Mereka beranggapan bahawa nafsu natikah (atau bahagian jiwa yang berfikir dan menerima ilmu) (orang-orang Timur) adalah lebih sempurna pada tabiat kejadiannya daripada apa yang ada pada orang-orang Maghribi. Mereka mendakwa ada terdapat perbezaan pada hakikat kemanusiaan antara kami (orang-orang Maghribi) dan mereka itu, kerana kemahiran mereka dalam ilmu-ilmu dan kemahiran dan pertukangan kelihatan luar biasa kepada mereka. Tetapi hal yang sebenar bukanlah demikian. Tidak ada perbezaan antara Timur dan Barat yang sedemikian besar (sehingga dianggapkan) ianya perbezaan dalam hakikat (tabiat kejadian manusia) yang memang (hakikat kemanusiaan itu) adalah satu (dan sama di mana-mana juga).
(Kelainan yang sedemikian itu) sebenarnya ada dalam kawasan-kawasan yang beriklim tidak sederhana seperti iklim yang pertama dan ketujuh. Sikap jiwa di sana tidak sederhana, dan jiwa juga tidak sederhana sesuai dengan keadaan yang ada, sebagaimana yang telah disebutkan.(Sebenarnya) kelebihan para penduduk Timur dengan penduduk Barat terletak pada akal tambahan (‘aqlul-mazid’) yang ada pada jiwa yan datang hasil daripada pengaruh-pengaruh kebudayaan (hadharah) sebagaimana yang telah disebutkan dalam hubungan dengan keahlian-keahlian.
Selanjutnya sekarang kami akan membicarakannya secara lebih lanjut dan, mengesahkannya; ianya seperti berikut:
Orang-orang yang hidup dalam berbudaya secara menetap memiliki peraturan-peraturan dalam segala perkara yang mereka lakukan dan yang akan mereka kerjakan ataun yang mereka tidak akan kerjakan, dan dengan demikian merekapun mendapati cara-cara tertentu dalam mengusahakan penghidupan, mencari tempat-tempat tinggal, mendirikan bangunan-bangunan, menangani masalah-masalah keagamaan dan keduniaan mereka, termasuk masalah-maalah adat-adat kebiasaan pada adat istiadat mereka, serta kira bicara mereka dengan orang lain, dan kegiatan-kegiatan lain mereka. Cara-cara bertindak yang menjadi kebiasaan tetap ini merupakan batasan yang tidak dilanggar oleh mereka, dan pada masa yang sama (di dalamnya ada terdapat kebiasaan-kebiasaan yang bersifat sebagai-p) kepandaian-kepandaian (atau cara-cara pertukangan) yang diterima oleh generasi kemudian daripada generasi yang awalnya. Tidak syak lagi setiap kemahiran itu ada kedudukan yang baik dalam susunan tertib kemahiran-kemahiran yang ada, dan ianya mempengaruhi jiwa manusia dan menjadikannya mendapat akal tambahan (‘aql al-mazid) (additional intelligence) yang menyiapsediakan jiwa itu untuk menerima kemahiran-kemahiran lainh selanjutnya pula (dengan itu ia menjadi semakin lama semakin bijak dan cekap-p). Dengan itu maka akal manusia itu disediakan untuk mencapai ilmu secara cepat dan segera.
Kebiasaan-kebiasaan yang baik dalam pengajaran ilmu (“scientific instruction”), dalam kemahiran-kemahiran pertukangan, dan dalam semua kegiatan-kegiatan yang dilakukan manusia, itu menambahkan lagi pencerahan dalaman pada akalnya dan juga memberi pencahayaan (enlightenment) pula pada pemikirannya, kerana dengan itu jiwanya itu mencapai banyak kebiasaan-kebiasaan padanya. Kita telah nyatakan dahulu bahawa jiwa manusia itu berkembang di bawah pengaruh pengesanan pancaindera yang diterimanya dan kemahiran-kemahiran (“malakah”) yang timbul daripadanya. Dengan itu maka orang-orang Timur menjadi lebih pandan kerana jiwa-jiwa mereka terpengaruh dengan kegiatan ilmiah. Orang awam menyangka bahawa itu adalah kelainan dalam hakikat kemanusiaan. Ini bukan yang sebenarnya.
Apabila seseorang membandingkan orang-orang dalam masyarakat berbudaya dengan orang-orang Badui, maka boleh diperhatikan bagaimana lebih banyaknya kecerahan pemikiran dan kepandaian yang ada pada orang yang berbudaya tetap itu. Dengan itu maka seseorang itu mungkin terfikir bahawa mereka itu berbeza daripada orang-orang Badui itu dalam hakikat kemanusiaan dan akalnya. Ini bukan demikian. Sebabnya hanyalah kelainan ada kerana orang yang berbudaya menetap itu mempunyai kebiasan-kebiasaan dalam bidang teknikal dan juga adat kebiasaan budi pekerti yang halus dalam hubungan dengan kegiatan-kegiatan yang sudah menjadi kebiasaan hidup dan juga suasana-suasana hidup budaya menetap, yang semua itu tidak diketahui oleh orang-orang Badui itu. Orang-orang yang hidup berbudaya menetap memiliki banyak kemahiran-kemahiran dan juga kebiasaan-kebiasaan yang berjalan bersekali dengan semua itu, juga mereka mempunyai (cara) yang baik untuk mengajar kemahiran-kemahiran itu. Oleh itu mereka yang tidak mempunyai kebiasaan-kebiasaan itu berfikir bahawa itu semua menunjukkan kesempurnaan akal yang dimiliki oleh mereka yang hidup dalam budaya menetap itu, dan bahawa kecekapan tabi’I orang-orang Badui itu adalah lebih rendah daripada yang ada pada orang-orang yang berbudaya menetap itu. Ini bukan demikian. Kita boleh dapati ada sebahagian daripada orang-orang Badui yang memiliki kefahaman, dan kesempurnaan akal serta kecekaan semula jadi yang paling tinggi sekali.
Nampaknya apa yang kelihatan secara lahir (sebagai kelebihan) orang-orang berbudaya menetap adalah hanya hasil daripada penghalusan dan penggilapan kemahiran-kemahiran serta pengajaran ilmu-ilmu yang diterima oleh mereka. Itu semua mempengaruhi jiwa sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini. Sekarang, para penduduk Timur lebih teguh dan lebih terkedepan kedudukan mereka dalam pengajaran ilmu dan kemahiran-kemahiran (daripada orang-orang Maghribi) dan orang-orang Maghribi pula adalah lebih dekat kepada kehidupan padang pasir, sebagaimanan yang kami nyatakan dalam bahagian yang terdahulu. Ini menyebabkan orang-orang yang dangkal akalnya memikirkan bahawa para penduduk Timur mengatasi kelebihannya daripada orang-orang Maghribi dengan sebab kesempurnaan (yang tertentu) yang ada pada mereka yang menyangkut hakikat kemanusiaan.Ini tidak benar, sebagaimana yang sepatutnya difahami. (Terjemahan penulis dengan mengambil kira terjemahan Rosenthal).
Dalam hubungan dengan kebiasaan yang baik yang menguatkan peradaban juga, kita lihat ibn Khaldun menyebut tentang budaya ilmu dan pengetahuan berkembang dalam kebudayaan dan peradaban yang berkembang pesat. Kata beliau:
(Ilmu pengetahuan menjadi banyak cabangnya bilamana tamadun itu besar dan budaya hidup menetap dikota menjadi terbentuk dengan tingginya). Ini kerana pengajaran ilmu, sebagaimana yang kami nyatakan berupa satu daripada kemahiran-kemahiran. Kami telah nyatakan bahawa kemahiran-kemahiran banyak terdapa hanya di kota-kota. Kualiti dan bilangan kemahiran-kemahiran atau pertukangan-pertukangan itu terletak pada lebih besar atau kecilnya peradaban (‘umran) (‘civilization’) dalam kota-kota itu dan pada budaya menetap dan hidup mewah yang dinikmati di kota-kota itu, kerana (kemahiran-kemahiran dan pertukangan-pertukangan yang terbentuk dengan baik itu) adalah sesuatu yang berupa tambahan kepada mencari penghidupan semata-mata. Bila orang-orang yang berperadaban ada mempunyai tenaga buruh yang lebih daripada apa yang mereka perlukan setakat untuk mencari penghidupan sahaja, maka (tenaga buruh) demikian yang berlebih itu digunakan untuk kegiatan-kegiatan yang lebih lagi dan mengatasi apa yang digunakan hanya untuk mencari penghidupan sahaja. Kegiatan-kegiatan sedemikian ini adalah hak istimewa manusia. Ianya terdiri daripada ilmu-ilmu dan kemahiran-kemahiran serta pertukangan-pertukangan ….
Ini diikuti dengan kenyataan beliau berkenaan dengan kebiasan-kebiasan bertaraf tinggi yang melibatkan perkembangan budaya ilmu di pusat-pussat tamadun Islam yang terkenal. Kata beliau:
Ini boleh ditunjukkan contohnya dengan kenyataan-kenyataan kami yang terdahulu berkenaan dengan Baghdad, Qurtubah, Qairawan, Basrah dan Kufah.Pada masa permulaan Islam, peradaban-peradaban (para penduduk kota) adalah ramai, dan budayan hidup menetap wujud di kalangan mereka. Maka ilmu-ilmu melimpah di sana dan penduduk-penduduknya tampail sebagai ahli dalam pelbagai jenis peristilahan teknikal dalam pengajaran ilmu-ilmu dalam pelbagai cawangan ilmu pengetahuan, dan ahli dalam menimbulkan persoalan-persoalan dan (menciptakan) disiplin-disiplin ilmu (yang baharu). Mereka itu (semua) mengatasi para ahli ilmu yang datang sebelum mereka dan mengatasi semua yang datang kemudian daripada mereka. Tetapi bila tamadun merusut dan penduduknya berkurang, gambarannya menjadi terbalik pula daripada apa yang terdahulunya. Ilmu pengetahuan dan pengajarannya tidak ada lagi dalam kota-kota tersebut tetapi dipindah dan ditanam di kota-kota Islam lainnya.
Kita pada masa ini melihat bahawa ilmu pengetahuan dan pengajaran ilmu ada di Kahirah pula iaitu di Mesir, kerana tamadun di sana (Mesir) terbentuk dengan tingginya dan budaya menetapnya telah menjadi tetap teguh beribu-ribu tahun lamanya. Oleh itu maka kemahiran-kemahiran terdiri tetap teguh di sana dalam banyak jenisnya. Satu daripadanya ialah pengajaran ilmu di sana. (Keadaan yang sedemikian) ini diperteguhkan lagi dan dijaga di Mesir oleh beberapa peristiwa dalam dua ratusan tahun lalu di bawah dinasti Turki, semenjak masa pemerintahan Salahud-Din al-Ayyubi dan seterusnya….
Ini diikuti dengan beberapa perkembangan tentang kemunculan ilmu-ilmu dalam Islam samaada ilmu-ilmu Syariah atau juga ilmu-ilmu akliah.
Perkara-Perkara Yang Perlu dielakkan Untuk Menguatkan Bangsa dan Tamadun:
Nampaknya ada beberapa perkara yang kita boleh renungkan sebagai perkara-perkara yang melemahkan tamaddun yang perlu dielakkan.Antaranya adalah seperti berikut:
perpecahan yang melemahkan umat samaada kerana ideologi siasah atau kerana lain-lain kecenderungan budaya dan kelainan pendapat perlu tanhgani dengan mengamalkan budaya beradab dalam berbeza pendapat
kerusakan pegangan dan nilai-nilai melalui unsur-unsur fahaman yang salah dan menyeleweng dalam agama dan penafsiran yang tidak sebenar serta penhgaruh budaya hiburan yang berlebihan (entertainment culture) yang boleh mengatasi budaya ilmu dan intelektuil yang akan melemahkan bangsa da umat dari segi jangka panjang walaupun ada faedah-faedah komersial jangka pendek.
kemerusutan budaya intelektuil yang didominasi oleh budaya komersial – tanpa mengecil-ngecilkan bidang komersial yang sedemikian penting dalam Islam – yang kalau dibiarkan akan membawa padah kepada umat dalam perkembangan ilmu dan kepakaran yang diperlukan untuk kepentingan pembentukan peribadi yang sepadu dan juga msyarakat madani yang dikehendaki.(gambaran masyarakat Ibn Khaldun dalam”al-Muqaddimah” adalah masyarakat madani. Dan yang dikehendaki oleh OIC dalam sidangnya baru-baru ini ialah masyarakat madani Islam seluruh dunia).
kerusakan nilai yang disebabkan oleh pendedahan kepada nilai-nilai yang negatif melalui media dan lainnya yang menghakis nilai-nilai Islam dan nilai-nilai Asia dalam hubungan dengan mereka yang selain daripada Muslimin, akibat negatif dari globalisasi yang disalah terima.
kerosakan nilai peribadi contoh yang didominasi dalam anggapan popular oleh budaya pemujaan “celebrity” (“celebrity cult”) yang sepatutnya diambil alih oleh budaya mengikut contoh yang baik dan sempurna (“uswatun hasanah”) – terdiri daripada para nabi dan rasul a.s.s. dan mereka yang utama dalam sejarah Islam dan juga sejarah dunia.
pengaruh budaya politik yang mungkin berlaku melebihi kewajarannya dilihat dari segi perkembangan budaya dan hidup intelektuil umat yang perlu ditangani dengan segera.
pengaruh yang tidak seimbang yang berlaku kerana tidak tunduk kepada epistemologi Sunni yang seimbang, sebagaimana yanhg ditunjukkan dalam “al-Muqaddimah” oleh Ibn Khaldun.
Ibn Khaldun menyatakan bahawa peranan agama ialah menyatupadukan Bangsa Arab dan membawa kemajuan kepada mereka dan masyarakat mereka.Ia menunjukkan bahawa ketidakadilan, sifat kuasa raja bermahrajalela, dan penindasan adalah tanda-tanda yang menunjukkan kejatuhan dalam sesebuah negara. Beliau menunjukkan bahawa falsafah yang berbentuk metafisika mendatangkan faedah mempertajamkan akal fikiran seseorang. Beliau menyatakan juga bahawa pengetahuan tentang perkara-perkara metafiska terutama dalam hubungan dengan keimanan boleh didapati hanya daripada wahyu.
Beliau juga seorang yang terkemuka dalam pendidikan. Beliau menyatakan bahawa paksaan adalah seteru kepada pendidikan, membawa kepada timbulnya sifat malas, berbohong dan sifat bermuka dua. Beliau juga menunjukkan kepada pentingnya contoh tauladan yang baik untuk ditiru.serta juga penguasaan yang baik dalam penggunaan bahasa. Beliau menyanjung ilmu yang sampai menjadi “malakah” dalam seseorang.
Oleh kerana beliau hidup dalam zaman permulaan menurunnya peradaban Islam maka apa yang dialami itu menyebabkan beliau mengumpulkan dan membuat ringkasan serta menghafal himpunan ilmu yang ditinggal oleh nenek moyangnya.Beliau menyerang amalan-amalan yang tidak sihat yang menimbulkan kebekuan dalam kalangan Muslimin dan mengurangkan kreativiti di kalangan para ahli ilmu.
OLEH MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY
Recent Comments