Aspek komersialisasi dalam dunia kontemporari mengheret bidang pendidikan untuk melihat kemenjadian pelajar dari aspek kebolehpasaran kerja. Pelajar dianggap sebagai komoditi untuk peningkatan pendapatan negara.
Bidang pengajian berteraskan sains dan teknologi dianggap bidang kritikal kerana dianggap pemacu utama kepada perkembangan ekonomi negara di peringkat global.
Bidang falsafah, sejarah, tamadun bahkan pengajian agama yang tidak kurang pentingnya dalam pembentukan insan holistik dilihat kurang signifikan kerana tidak menyumbang secara langsung kepada kekayaan material masyarakat dan negara.
Tanpa disedari, kecenderungan itu menyebabkan pendidikan kehilangan makna dan tujuan sebenar.
Nilai sekularisme, materialisme dan individualisme menyelusup masuk seiring arus pemodenan serta globalisasi. Ia merencatkan pencapaian matlamat pendidikan untuk melahirkan insan sejahtera yang dapat menyebarkan kebaikan untuk seluruh masyarakat dunia.
Nilai Barat bukan sahaja mencetuskan permusuhan antara lapisan masyarakat bahkan juga menyebabkan peminggiran dan pengabaian terhadap agama dan Tuhan.
Agama bertujuan mengatur kehidupan dan memelihara kemuliaan manusia didakwa menjadi penghalang kebebasan diri serta kemajuan hidup.
Nilai tunduk dan menyerah kepada kebesaran dan kebijaksanaan Tuhan dianggap sebagai merencatkan potensi akal serta pemikiran manusia.
Akibat penolakan agama dan Tuhan, manusia kehilangan makna diri serta terkeliru terhadap hakikat dirinya.
Manusia tidak memiliki jawapan tuntas mengenai tujuan kewujudannya di dunia hingga menyebabkan timbul gejala kezaliman terhadap golongan lemah dan gejala mudah berputus asa terhadap cabaran serta ujian kehidupan.
Sekalipun wujud penekanan agama dalam masyarakat moden, tujuan beragama itu lebih bersifat utilitarian.
Agama diambil sebagai alat mengawal tingkah laku buruk manusia daripada memberi mudarat kepada masyarakat dan negara.
Pendidikan agama di sekolah dan institusi pengajian diberikan kepada generasi muda dengan tujuan mengekang gejala rasuah atau jenayah membahayakan masyarakat dan merugikan negara.
Walhal, pendidikan agama harus berteraskan pengisian fitrah azali dan pengabdian diri kepada Tuhan menumbuhkan potensi kebaikan dalam diri setiap insan.
Akhirnya nanti, sekalian manusia menjadi penyumbang kepada kesejahteraan sejagat di alam ini.
Namun, hal sedemikian tidak berlaku. Sebaliknya, golongan berkuasa dilihat menindas dan mengekploitasi golongan miskin serta lemah untuk mengukuhkan kedudukan dan kekayaan mereka.
Kemusnahan alam juga berlaku secara berleluasa. Ironinya, perbuatan buruk ini tidak menjadi kesalahan lantaran undang-undang diguna pakai adalah undang-undang ciptaan mereka sendiri.
Dalam masyarakat moden juga, agama berfungsi sebagai antara elemen budaya yang memberi identiti kepada suatu kaum atau bangsa.
Justeru, amalan beragama menjadi milik peribadi dan berperanan sebagai ritual budaya diwariskan generasi terdahulu.
Dalam konteks ini juga, agama kehilangan maknanya sebenar, iaitu sebagai penghubung dan pengabdian diri insan dengan Pencipta.
Hal ini mengarah kepada suatu keadaan beragama, namun tidak merasai keterikatan dan hubungan dengan Tuhan, meskipun amalan disuruh agama dilaksanakan.
Nilai sekularisme berkembang dan tersebar dalam pemikiran masyarakat moden juga menimbulkan fenomena beragama yang berpegang kepada konsep ‘beragama tetapi tidak bertuhan’ atau ‘saya penganut agama yang tidak mempercayai Tuhan.’
Kehilangan makna pendidikan, peminggiran agama dalam hidup dan pemisahan jiwa beragama dengan Tuhan dihuraikan menjadi faktor penghalang kebahagiaan manusia era moden.
Kes bunuh diri, penderaan, pemerdagangan manusia, pengabaian anak dan pembunuhan ahli keluarga menjadi indikator betapa longgarnya hubungan manusia dengan Tuhan.
Sistem kehidupan direncana golongan kapitalis dan sosialis juga mengakibatkan dua ekstrem buruk dalam masyarakat dunia, iaitu kebuluran dan obesiti, kefakiran dan pemborosan serta kemelaratan dan kekuasaan.
Situasi itu menggambarkan sifat insan tandus nilai kemanusiaan dan kasih sayang.
Maka, apakah wajar kita lakukan? Apakah langkah paling awal untuk memperbetulkan seluruh keburukan berlaku hari ini?
Elemen utama perlu dipugar semula ialah kerohanian dalam ilmu dan pendidikan. Pengembalian semula elemen spiritual terbabit membuka pengenalan hakikat kewujudan insan dan potensinya.
Selanjutnya, pengenalan diri insan membawa pengenalan dan pengakuan terhadap wujud dan Kekuasaan Tuhan.
Sekiranya elemen spiritual berterusan terkeluar daripada konsep ilmu dan pendidikan, insan yang berpencapaian dan berkemahiran tinggi tetap dapat dilahirkan tetapi masyarakat manusia tandus nilai bahagia, kasih sayang dan belas ihsan kepada sesama insan.
Oleh Mahfuzah Mohammed Zabidi Pensyarah Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Pasir GudangPensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Pasir Gudang
Sumber : Berita Harian Online
Recent Comments