ANTARA mukjizat-mukjizat yang lain, al-Quran merupakan mukjizat paling agung Nabi Muhammad SAW. Proses turunnya al-Quran yang mengambil masa 22 tahun 2 bulan dan 22 hari memberi pengajaran penting kepada kita bahawa Allah tidak serta-merta menerapkan syariah dan ajaran penting Islam lain kepada umat Islam.
Agama Islam menjadi agama yang menekankan pentingnya penghayatan dan kesedaran umatnya berbanding memaksa menjalankan ritual-ritual keagamaan tanpa disertai dengan pemahaman yang secukupnya terhadap pesanan kandungan al-Quran dan sunnah Nabi.
Kita jangan terperangkap dengan retorik dan slogan indah tapi pada masa sama kita mengalami kekosongan nilai-nilai kandungan al-Quran dan Sunnah itu sendiri. Adakalanya kita sibuk dengan ritual-ritual keagamaan seperti tidak pernah terlepas sembahyang lima waktu, rajin puasa Isnin-Khamis, menyokong kehidupan Islamik, akan tetapi pada masa sama melanggar dan menyeleweng prinsip dan kandungan al-Quran seperti taksub kepada parti politik dan pemimpin, suka mengkafir dan menyesatkan orang Islam lain, tidak menghargai perbezaan pendapat, bertindak zalim, memfitnah, kuku besi, pecah amanah, rasuah dan sikap negatif yang lain.
Islam jangan dijadikan sebagai topeng untuk menyesatkan dan menghakimi golongan Islam lain yang mempunyai pendirian yang cenderung menongkah arus perdana.
Slogan kembali ke al-Quran dan sunnah sepatutnya dijadikan sebagai hujah untuk mengukuhkan perpaduan seluruh umat Islam tanpa mengira pegangan mazhab, aliran keagamaan dan corak ibadah. Bukan menjadi ejen kepada perpecahan umat Islam. Sesungguhnya al-Quran menyediakan wahana dan tafsiran yang begitu luas yang memungkinkan berlakunya khilafiah dan beragamnya ekspresi keagamaan umat Islam.
Selain sebagai memberi iktibar daripada peristiwa-peristiwa dan kisah Nabi sebelumnya, proses turunnya al-Quran merupakan respons dan jawapan kepada persoalan dan isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Ayat-ayat al-Quran diturunkan oleh Allah SWT dimaksudkan untuk memberi hidayah kepada umat manusia agar mahu mengambil hikmah dari semua kejadian. Ini terutama ayat al-Quran yang menceritakan tentang azab, musibah dan bencana dari Allah kepada manusia kerana perbuatan dosa yang telah mereka lakukan.
Dalam isu pertandingan Ratu Cantik yang membabitkan peserta orang Islam misalnya. Jangan sampai kedegilan mereka menentang fatwa yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Wilayah mendatangkan azab dan bencana dari Allah kerana membiarkan perkara maksiat ini daripada berlaku. Bagi Islam, sudah jelas dan tidak ada keraguan lagi berkenaan dengan hukum mendedahkan aurat wanita. Tidak ada alasan kebebasan hak asasi dalam hal ini. Apatah lagi mempersoalkan fatwa ulama sebagai fatwa lapuk dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman, merupakan tindakan yang boleh memesongkan akidah orang Islam.
Separuh pertama bulan Ramadan sudah berlalu dan bermakna seluruh umat Islam makin sibuk dengan persiapan meraikan hari kemenangan, iaitu menyambut Aidilfitri. Bagaimanapun kesibukan itu tidak bermakna umat Islam boleh melupakan perjalanan separuh lagi bulan Ramadan, kerana ketika inilah kita mula merasakan bahawa semakin hampir dengan penamatnya, semakin sayu hati untuk menerima kesudahan ibadat pada tahun ini.
Separuh kedua bulan Ramadan mempunyai nilai sejarah yang begitu besar dalam kehidupan umat Islam kerana telah diturunkan al-Quran sebagai panduan sepanjang hayat. Kita mengingati sejarah turunnya al-Quran sebagai pedoman yang memandu seluruh kaedah dan amalan hidup kita dalam konteks mengukuhkan proses perhambaan kepada Allah SWT”, tatacara menyusun kehidupan lebih bermakna dengan orang lain atau bermasyarakat dan seterusnya perjalanan menuju kehidupan yang lebih kekal.
Kita mengingati hari turunnya al-Quran (Nuzulul Quran) sebagai asas kita membina landasan yang benar, betul dan jelas. Turunnya al-Quran turut membawa pandangan-pandangan baharu manusia terhadap alam semesta, darjat dan martabat manusia, proses kemanusiaan dan keinsanan, tatacara hidup dan berbudaya, jalinan kemasyarakatan dan pemenuhan peranan sebagai seorang individu, keluarga, masyarakat dan bernegara. Menerusi al-Quran kita diberikan pedoman, dan selagi kita memahami, mengamalkan apa yang disarankan kita akan terus tabah menghadapi ujian.
Menerusi kandungan al-Quran, kita membina keyakinan hidup dengan beriktikad bahawa Allah SWT adalah kekasih yang abadi” dan kebesaran-Nya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa yang lahir dan dilahirkan oleh makhluk. Menerusi al-Quran juga kita mengenali jagat raya dengan lebih baik, dan semakin kita memahaminya, maka kita semakin yakin kekuasaan Allah SWT adalah amat besar, tidak terbatas bahkan Dialah menjadi tempat kita bermohon dan mencari keredaan sejati.
Sebagai hamba Allah SWT, setiap kali kita bernafas, dengusnya adalah keberkatan-Nya yang diberikan tanpa pernah meminta untuk dibalas. Sebagai manusia yang beradab dan beradat, tentunya setiap pemberian walaupun kecil perlu disusuli dengan ucapan terima kasih. Demikian juga dalam Surah Ad-Dukhan ayat 3 Allah berfirman yang bermaksud; (Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).
Hikmah di sebalik peringatan Nuzul al-Quran ini bertujuan antara lain – Pertama: Membersihkan akal dan menyucikan jiwa dari segala bentuk syirik serta memantapkan keyakinan tentang keesaan yang sempurna bagi Tuhan seru sekalian alam, keyakinan yang tidak semata-mata sebagai suatu konsep teologi tetapi falsafah hidup dan kehidupan umat manusia.
Kedua: Mengajarkan kemanusiaan yang adil dan berakhlakul karimah yakni umat manusia merupakan suatu umat yang sepatutnya dapat bekerjasama dalam pengabdian kepada Allah dan pelaksanaan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Ketiga: Menciptakan persatuan dan kesatuan, bukan saja antara suku atau bangsa, tetapi kesatuan alam semesta, kesatuan kehidupan dunia dan akhirat, kesatuan ilmu, iman, dan hujah, kesatuan kebenaran, kesatuan keperibadian manusia, kesatuan kemerdekaan, kesatuan sosial, politik dan ekonomi, dan kesemuanya berada di bawah satu keesaan, iaitu keesaan Allah SWT.
Keempat: Mengajak manusia berfikir dan bekerjasama dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan cara bermusyawarah dan mengelakkan perpecahan. Kelima: Membanteras kemiskinan tegar sama ada kemiskinan secara keagamaan mahupun secara ekonomi, kebodohan, penyakit, dan penderitaan hidup.
Ketujuh: Memberi jalan tengah antara falsafah monopoli kapitalisme dengan falsafah kolektif komunisme, menciptakan ummatan wasatan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Kelapan: Menekankan peranan ilmu dan teknologi, bagi menciptakan satu peradaban yang sesuai dengan jati diri manusia, dengan panduan Nur Ilahi.
Oleh sebab itulah, sebagai orang yang beriman, mereka sanggup berjaga sepanjang malam bagi mendapatkan malam Lailatulqadar. Meskipun sering gagal dalam percubaannya, umat Islam tidak pernah rasa kecewa. Mereka akan terus mencuba, kerana yakin malam itu akan datang juga dalam kehidupannya.
Oleh : Mohd. Shauki Abd. Majid
Recent Comments