Salah satu masa dan ketika yang ditunggu-tunggu oleh orang-orang beriman dalam bulan Ramadan adalah Laylat Al-Qadr (secara popular dilafazkan “lailatulqadar”). Malam itu disebut dengan lailatulqadar, suatu malam yang dinilai oleh al-Quran sebagai malam yang penuh barakah dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Secara harfiah Laylat Al-Qadr bermaksud “Malam Penentuan” atau “Malam Kepastian” – jika kata-kata qadr difahami sebagai suatu asal dengan kata-kata taqdir. Tetapi ada juga yang menberi makna Laylat Al-Qadr dengan “Malam Kemahakuasaan”, iaitu jika kata-kata qadr difahami sebagai suatu asal dengan kata-kata al-Qadir yang bermaksud “Yang Maha Kuasa” iaitu salah satu sifat Tuhan.

Lailatulqadar sangat dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan daripada Allah SWT kepada umat-Nya. Pengalaman mendapatkan lailatulqadar merupakan pengalaman spiritual dan individual. Tidak semua orang mampu mendapatkan malam seribu malam ini. Ia tidak boleh dicapai begitu sahaja dengan hanya kehadiran kita pada malam-malam ganjil di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, kerana perjumpaan dengan lailatulqadar merupakan puncak prestasi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan rohani pada bulan Ramadan.

Dikatakan bahawa malam tersebut para malaikat turun, begitu juga ruh (yang dalam hal ini ialah ruh kudus atau malaikat Jibril pembawa wahyu Tuhan).Mereka turun dengan membawa ketentuan tentang segala perkara bagi seluruh alam khususnya umat manusia. Malam itu adalah malam kedamaian hingga terbit fajar.

Kalau kita berbicara tentang Nuzul Quran, sangat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah SWT secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!”
Meskipun kata-kata ‘malam’ disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadr ini diberikan kehormatan yang amat tinggi sekali. Ia dinamakan ‘malam’ yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan malaikat Jibril.

Penghormatan ini berlangsung satu malam suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar pagi. Sengaja digambarkan oleh Allah SWT dengan kata ‘salam’ akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci iaitu perdamaian.

Inilah satu penghormatan yang begitu besar pernah terjadi dalam coretan seluruh sejarah kemanusiaan. Justeru Lailatulqadar sentiasa segar dan hidup setiap tahun sepanjang perjalanan sejarah manusia untuk memperingati peristiwa turunnya wahyu Allah SWT.

Di dalam Surah al-Qadr juga disebut malam Lailatulqadar melebihi seribu bulan. Ini bermakna amal yang dilakukan pada semalaman Lailatulqadar melebihi pahalanya daripada amal seribu bulan. Banyak ulama menjelaskan seribu bulan itu bukanlah memperhitungkan angka yang tepat, tetapi dimaksudkan kemuliaan Lailatulqadar berbanding dengan segala hari dan malam yang lainnya, iaitu suatu saat yang tidak terhingga ketinggian nilainya.

Apakah hikmat Allah tidak menyebut mana satu hari akan berlakunya Lailatulqadar. Berdasarkan pada hadis Nabi, Lailatulqadar akan jatuh pada tarikh ganjil di akhir bulan Ramadan iaitu 21, 23, 25, 27, dan 29. Ia terjadi pada salah satu malam itu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui waktunya yang tepat.

Panduan inilah yang sering digunakan oleh umat Islam untuk mengisi hari-hari itu dengan meningkatkan amal-amal yang soleh. Mereka optimis dan mempunyai harapan yang tinggi dan mengharapkan amal yang dilakukan bertepatan dengan Lailatulqadar yang nilai pahalanya ribuan bulan.

Metafora

Sebenarnya Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menjelaskan apa yang dimaksudkan Lailatulqadar dan bila ia berlaku. Suatu ketika Rasulullah SAW bersabda kepada orang ramai yang berkumpul di masjid menunggu Lailatulqadar, katanya: apa yang kamu tunggu-tunggu malam ini akan datang kerana aku telah melihat dalam visi (rukyah) bahawa akan berlaku hujan lebat kemudian aku berlumuran dan basah kuyup oleh air. Pada malam itu memang terjadi hujan lebat.

Justeru bangunan masjid di zaman Nabi SAW diperbuat dari daun kurma maka air hujan mudah menitis masuk ke dalam lantai masjid yang bertanah. Umat Islam yang ada pada saat kejadian tersebut melihat apa yang dikatakan Nabi SAW. Rasullullah SAW dengan mukanya yang basah kuyup dan badannya yang berlumuran tanah liat lalu mengatakan itulah yang kau tunggu-tunggu. Justeru Lailatulqadar adalah persoalan rohani, maka tidak ada kata-kata yang mapan untuk menjelaskan. Ia hanya boleh diungkap melalui simbol atau metafora.

Di sinilah timbul masalah tafsir dan takwil di mana Nabi SAW dengan lumpur dan basah dengan air sebenarnya adalah suatu peringatan kepada kita bahawa tingkat paling tinggi daripada pengalaman rohani itu adalah kalau kita sudah kembali ke asal. Dari mana kita berasal kalau tidak dari tanah dan air. Jadi yang diambil Nabi SAW satu perlambangan bahawa kita pun akan kembali ke tanah dan menjadi air. Kita harus menyedari siapa kita di sisi Allah dan harus menjadi manusia berhati rendah dan janganlah menjadi manusia takbur yang membuat pintu syurga tertutup rapat dan tidak dapat masuk ke dalamnya.

Tidak ada kebahagiaan yang ingin dicapai melainkan kebahagiaan hakiki di sisi Allah SWT. Inilah yang kita cari dalam tahap rohani puasa – yang kita alami melalui satu simbolisasi dari Lailatulqadar. Tetapi semuanya memang harus dimulai dengan tanah dan air atau perkataan lainnya, kesedaran tentang diri kita yang sebenarnya. Jika orang yang ikhlas ada tandanya, maka demikian juga orang yang mendapat Lailatulqadar pasti ada tandanya jua. Pertama, apakah kita sudah semakin memahami maksud-maksud suci Allah ketika membaca al-Quran?

Kedua, apakah ibadat kita sudah lebih banyak, lebih baik, dan nikmatnya? Ketiga, apakah kita melihat manusia sebagai satu kesatuan tanpa dipilih oleh mana- mana mahzab? Keempat, apakah kita sudah berasa jijik melakukan dosa dan maksiat? Kelima, apakah kita bersedia berlapang dada memaafkan musuh kita? Keenam, jika kita berada dalam kesibukan tetapi banyak melakukan amal ibadah dan zikir dengan tidak mempunyai apa-apa yang harus dibanggakan di hadapan Allah?

Ini semua bererti kemungkinan besar kita berhasil mendapat curahan berkat-Nya melalui Lailatulqadar.

Oleh : Mohd Shauki Majid

Translate »