SELURUH dunia dikejutkan dengan penularan wabak COVID-19 yang dahsyat dan merebak dengan begitu cepat.

Sehingga kini virus itu menjangkiti lebih 2.9 juta manusia di peringkat global dengan kematian melebihi 200,000 orang.

Di negara kita, sehingga semalam (27 April) jangkitan sudah menjangkau sebanyak 5,820 kes dan 99 kematian. Gelombang ketiga dikatakan akan melanda tidak lama lagi sekiranya kita tidak berhati-hati atau mematuhi amalan penjarakan sosial seperti disarankan kerajaan.

Lantaran itu, persediaan rapi dengan kesiapsiagaan tinggi amat diperlukan.

Kerajaan dan petugas bahagian hadapan bertungkus-lumus dan bekerja keras siang malam bagi mengekang dan memutuskan rantaian virus COVID-19, di negara ini.

Namun, kesedaran terhadap bahaya wabak COVID-19 dalam kalangan rakyat masih rendah, kerana ada masih berdegil dan tidak mematuhi perintah dikeluarkan.

Pelbagai peralatan diperlukan pihak hospital dan klinik untuk mengenal pasti jangkitan, menjalankan saringan, melakukan isolasi pesakit dan merawat pesakit positif COVID-19.

Antara peralatan amat diperlukan ketika krisis global ini termasuklah topeng penutup mulut dan hidung, sabun tangan nyah kuman, alat pengukur suhu badan, peralatan ujian berkaitan, pakaian perlindungan diri, katil, bilik isolasi, makmal, kenderaan, kipas dan pendingin hawa.

Kebanyakan bekalan ini pula semakin berkurangan dan harganya pula meningkat.

Apa yang pasti, peruntukan besar diperlukan kerajaan untuk menyediakan peralatan bagi mengawal dan memutuskan rangkaian COVID-19.

Beban kewangan ini semakin terasa, apabila kerajaan juga berusaha membantu rakyat terkesan akibat COVID-19 seperti golongan miskin dan gelandangan.

Sejak wabak COVID-19 mula melanda negara awal tahun ini, banyak tabung derma dan sedekah jariah diwujudkan sama ada oleh individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu kerajaan mengharungi wabak ini.

Wakaf ada dalam bentuk sumbangan untuk membeli alat sokongan pernafasan, wakaf al-Quran, surah Yassin, bantuan makanan dan wang tunai yang akan dihulurkan kepada hospital mahupun petugas di bahagian hadapan.

Pihak universiti juga tidak ketinggalan dalam menyediakan bantuan makanan dan kemudahan kepada pelajar mereka.

Dana sedekah jariah diwujudkan melalui pelbagai bentuk tabung di seluruh negara. Doa dan harapan memohon keselamatan sering kali dibaca demi rakyat seluruh negara.

Sebenarnya, sejak berkurun lama, philanthropy atau kedermawanan menjadi antara sektor mampu menyumbang demi kebajikan seluruh manusia di muka bumi ini.

Dalam konteks ini, wakaf ialah penyelamat yang mampu menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat memerlukan. Wakaf ialah senjata ampuh yang menjadi benteng menyelamatkan umat daripada hakisan sosial dan juga ekonomi.

Apabila dana wakaf dikumpul dan digunakan dengan sebaik-baiknya, hospital boleh dibina dan peralatan perubatan boleh dibeli dan disenggarakan daripada manfaat wakaf. Barangkali, peruntukan kewangan daripada pihak kerajaan tidak diperlukan.

Amalan wakaf hidup subur dan diteruskan sahabat sejak zaman Nabi Muhammad SAW yang banyak mewakafkan harta untuk kepentingan dan pengembangan syiar Islam ketika itu.

Khalifah Saidina Uthman RA misalnya, membeli telaga air minuman daripada seorang Yahudi untuk diinfaqkan kepada seluruh penduduk termasuk orang bukan Islam di tanah Arab.

Pada era Kerajaan Abbasiyyah, iaitu pada sekitar abad ke-10 dan 11, wakaf kesihatan dipelopori dengan meluas. Hospital wakaf pertama di dunia dibina pada 1389 di Bursa.

Hospital ini dikatakan mampu memberi khidmat kepada kira-kira 8,000 pesakit sehari dengan kos amat minimum.

Di Nigeria pula, hospital mata berasaskan wakaf ditubuhkan untuk memberi rawatan kepada rakyat dengan kos murah.

Di negara kita, Wakaf An-Nur ditubuhkan Johor Corporation (JCorp) untuk menyediakan rawatan kesihatan dengan kos minimum.

Justeru, pembinaan hospital atau klinik wakaf (atau menaik taraf hospital sedia ada) yang lengkap dengan peralatan moden, mampu mengawal wabak virus khususnya COVID-19.

Dana wakaf boleh dikumpulkan melalui pelbagai sumber termasuk pewakaf dari dalam dan luar negara. majlis agama Islam negeri (MAIN) dan agensi berkaitan wakaf (ABW) boleh membantu.

Malah sumber sukuk dan unit amanah patuh syariah juga boleh dilaksanakan. Sementara itu, melalui wakaf musytarak, peralatan sempurna dan canggih serta kos penyenggaraan boleh ditampung.

Menurut laporan Islamic Financial News, nilai aset global bagi wakaf di Malaysia adalah kira-kira AS$1 trilion (RM4.37 trilion) pada 2013 dan nilai aset wakaf yang masih belum diterokai sepenuhnya bernilai kira-kira AS$325 (RM1.4 trilion).

Pada 2013 juga, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyatakan terdapat kira-kira 30,000 hektar harta tanah wakaf, namun hanya kira-kira 12 peratus sahaja dimajukan, selebihnya belum diterokai sepenuhnya.

Melalui pendanaan kendiri dan ditambah pula sistem pengurusan harta dan penyenggaraan moden, kos menguruskan hospital dan klinik wakaf menjadi murah. Pihak hospital tidak perlu lagi bergantung pada kerajaan.

Rakyat pula mendapat khidmat rawatan bagi sebarang penyakit dengan cepat, murah dan berkualiti.

Seterusnya, seluruh umat dapat menikmati manfaat wakaf manakala pahala kepada pewakaf pula akan mengalir hingga hari kiamat. Itulah kesejahteraan sejati.

Sesungguhnya, wakaf adalah suatu pelaburan abadi.

Oleh Prof Dr Ismail Omar Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan Pensyarah Bidang Pengurusan Harta Tanah dan Wakaf di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Sumber : beritaharian online

Translate »