RAMADAN merupakan bulan yang dilipat gandakan rahmat kepada sekalian alam. Bagi mereka yang ingin kembali kepada Allah, ambillah peluang pada bulan Ramadan ini kerana Allah akan membuka seluas-luasnya pintu rahmat dan ditutup serapat-rapatnya pintu neraka.
Ramai dalam kalangan kita yang ternanti-nanti akan kehadiran bulan yang penuh dengan keberkatan dan kasih sayang untuk melakukan dan merancakkan lagi pelbagai ibadah.
Antara kebiasaan yang dilakukan oleh masyarakat kita apabila tibanya Ramadan ialah menunaikan solat tarawih secara berjemaah sama ada di masjid atau di surau.
Solat tarawih ialah ibadah solat sunat yang dilakukan pada waktu malam di bulan Ramadan. Bermula waktunya selepas solat Isyak dan berakhir dengan masuknya waktu subuh. Dinamakan Terawih kerana orang yang melakukannya akan berehat selepas empat rakaat iaitu dua rakaat dua rakaat.
Bagi mereka yang mendirikan solat tarawih maka ganjaran yang cukup besar disediakan Allah seperti mana di dalam sebuah hadis sabda Rasulullah: Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” – [HR Muslim 759].
Dr. Hadi berkongsi tip mengerjakan solat Terawih di rumah.
Kita tidak akan menghadapi masalah jika kita solat di masjid atau di surau kerana imam dan bilal akan menguruskan solat daripada mula sehingga habis dengan bacaan, zikir dan doa.
Tetapi pada Ramadan kali ini ia amat berbeza sekali kerana kita tidak dibenarkan untuk pergi ke masjid dan surau seperti biasa kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Maka sudah tentu solat tarawih akan kita lakukan di rumah bersama keluarga masing-masing yang akan diimami oleh suami atau anak lelaki.
Menjadi persoalan yang amat penting ialah bagaimana cara untuk melakukannya dan apakah hukum meninggalkan bacaan zikir selepas dua rakaat atau empat rakaat solat tarawih jika kita tidak mengetahuinya.
Maka di sini ustaz akan menjelaskan secara mudah mengenai solat tarawih yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja di rumah.
Marilah kita sama-sama berdoa agar wabak Covid-19 berjaya dihapuskan agar kita dapat kembali mengerjakan ibadah di masjid.
1. Kita perlu mengetahui dengan jelas hukum menunaikan solat tarawih. Solat tarawih hukumnya sunat mu’akad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut.
2. Solat tarawih boleh dilaksanakan secara berjemaah atau bersendirian. Berjemaah adalah lebih afdal. Namun jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjemaah maka dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian.
3. Solat tarawih boleh dilaksanakan dalam jumlah lapan atau dua puluh rakaat diikuti dengan solat sunat witir. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat. Terpulang kepada masing-masing untuk menunaikan ibadah ini mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri terhadap Pencipta.
4. Solat tarawih dilakukan dengan 2 rakaat 2 rakaat sehingga 8 rakaat atau 20 rakaat. Ini berdasarkan hadis nabi Sabda Rasulullah: Solat malam ialah dua rakaat, dua rakaat. – [HR Bukhari 936].
5. Niat bagi solat sunat tarawih di hati sewaktu takbiratul Ihram dengan niatnya berbunyi seperti ini: Sahaja aku solat sunat tarawih 2 rakaat imam/makmum kerana Allah.
Jadi jika di Bulan Ramadan rutin maksiat kita masih berjalan seperti biasa dan masih lagi jauh dari Allah maka persoalan yang patut dikemuka dan difikirkan ialah: Siapa syaitan yang sebenarnya?
DR NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN
6. Bacaan pada setiap rakaat. Pada setiap rakaat wajib membaca Surah Al-Fatihah ini kerana tanpa membaca Surah Al-Fatihah maka kita telah meninggalkan rukun dan bagi mereka yang meninggalkan rukun maka solatnya tidak sah. Selepas membaca Surah Al-Fatihah kita boleh membaca apa sahaja surah hafalan yang mudah bagi kita sama ada yang pendek mahupun panjang.
7. Ketika selesai daripada mengerjakan 2 rakaat solat tarawih yang pertama maka bolehlah berzikir seperti kebiasaan bagi mereka yang mampu ataupun bagi mereka yang tidak mampu dek kerana tidak menghafal atau tidak mengetahui bacaannya maka boleh sahaja berdoa atau berzikir dengan apa yang mereka tahu. Ini kerana bacaan-bacaan zikir itu bukanlah satu kewajiban yang harus dilakukan dan ia tidak memberi sebarang kesan terhadap ibadah terawih yang kita lakukan.
8. Selepas selesai mengerjakan solat sunah tarawih sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat maka kita bolehlah pilih sama ada mahu terus melakukan solat sunat witir atau dilakukan pada 2/3 malam nanti. Lafaz niat solat witir dihati ialah: Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat imam/makmum kerana Allah.
Dengan penjelasan di atas seharusnya tidak ada lagi alasan yang boleh kita berikan untuk tidak mengerjakan solat sunat tarawih di rumah. Beruntunglah bagi mereka yang mencari reda Allah di mana pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan ditutup serapat-rapatnya pintu neraka.
Bulan Ramadan merupakan bulan kita melipat gandakan amalan kebajikan kita serta melatih diri untuk sentiasa mentaati perintah Allah.
Jika di luar Ramadan kita selalu menyalahkan syaitan dek kerana sentiasa menghasut manusia untuk melakukan kejahatan tetapi di bulan mulia ini Allah merantai syaitan-syaitan seperti mana sabda Rasulullah: Apabila datang Bulan Ramadan maka akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutup pintu-pintu neraka dan akan diikat syaitan-syaitan. – [HR Muslim 1793].
Jadi jika di Bulan Ramadan rutin maksiat kita masih berjalan seperti biasa dan masih lagi jauh dari Allah maka persoalan yang patut dikemuka dan difikirkan ialah: Siapa syaitan yang sebenarnya?
Oleh Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah
Recent Comments