MENUJU hari yang semakin mencabar, pendefinisian makna-makna dalam kehidupan akan lebih teruji.
Benar, arus yang melanda akan meranapkan sesiapa yang tidak faham apa yang sedang berlaku.
Arus itu bukan sahaja menikam suasana masyarakat, ia juga menyerang susuk tubuh jatidiri muslim, hingga ke neraca pemikiran mereka dalam mentafsir kewujudan, agar neracanya selari dengan arus yang deras itu.
Ia bermula dengan paparan kebendaan, disaluti dengan syahwat yang tiada hadnya, hingga kehancuran nilai secara satu per satu tanpa sedar.
Memahami realiti sebegini, seperti yang disebut dalam hadis bahawa umat Islam akhir zaman ibarat sedulang makanan yang sedang dikerumuni manusia, muhasabah adalah jalan terbaik bagi memulakan apa-apa langkah.
Muhasabah kembali; siapakah kita, ke manakah kita akan pergi, dan kenapa kita berada di sini?
Persoalan itulah sebenarnya, jika dijawab dengan benar, akan mendefinisikan; apakah itu erti kebahagiaan dalam hidup kita?
Saya pernah diberi pinjam oleh seorang sahabat senaskhah buku kecil yang ditulis oleh SMN Al-Attas yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, yang menghurai makna kebahagiaan dan pengalamannya dalam Islam.
Secara ringkasnya buku itu tinggi nilai perbahasannya, kerana terdapat sorotan sejarah dan kritikan ilmiah dalam pengalaman Barat terhadap nilai kebahagiaan, serta huraian yang panjang dan mendalam terhadap makna kebahagiaan secara satu per satu bermula dari kefahaman keimanan dan tasawwur yang benar, hingga ke tahap kebahagiaan tertinggi iaitu menatap wajah Tuhan di syurga nanti.
Namun apa yang saya ingin ketengahkan isu ini dengan lebih santai agar ia dicerna dengan mudah walaupun ia dalam kerangka yang sama iaitu ‘menuju kebahagiaan hakiki’.
Bagi saya, kebahagiaan kita diukur dengan kehidupan harian kita.
Apa yang selalu kita buat, itulah hakikatnya yang kita anggap ia membantu hidup kita. Dalam erti kata yang lain, itulah keamanan dan ketenangan dalam hidup kita. Walaupun pada ketika itu kita rasakan ianya sangat menggeramkan, perasaan marah dan serabut, kita yakini satu masa nanti ia menuju kebahagiaan.
Seorang yang bekerja keras, ketika kerja mungkin dia penat, dimarahi bos, ditengking sana sini kerana tak siap kerja, dipantau ketat hingga mengganggu privasi dan sebagainya, dia hakikatnya sedang membeli kebahagiaan yang didambakan, suatu hari nanti. Boleh jadi ia berupa limpahan gaji yang dikumpul hingga boleh melabur dan boleh bebas daripada kekangan kewangan, boleh jadi juga legasi harta yang boleh memberi makan hingga ke cicit, atau pun yang sewaktu dengannya.
Samalah juga dengan seorang guru yang berdedikasi, walaupun gajinya mungkin tak setimpal usahanya, disuruh buat kerja yang selain dari bidang tugasnya, namun hakikatnya dia sedang membeli kebahagiaannya pada satu hari nanti, boleh jadi ia berupa pembentukan generasi yang terdidik, boleh jadi ia berupa legasi kepimpinan negara akan datang.
Hakikatnya, kita yang menentukan, apakah jenis kebahagiaan yang sedang kita bayar pada hari ini.
Mari kita cuba untuk menjadikan Al-Quran sebagai panduan untuk mendefinisikan ‘bahagia’ dan ‘cara bayarannya’ agar kita tidak tersalah maksud, lalu tersingkir dalam jalan-jalan menuju kebahagiaan hakiki.
Al-Quran menggariskan kebahagiaan adalah golongan yang masuk ke dalam syurga (Surah Hud), melihat Tuhannya (Surah Al-Qiyamah), orang yang beramal soleh (Surah An-Nahl), dan bermacam bentuk diceritakan kebahagiaan bagi orang-orang yang beriman.
Mengenai ‘cara bayaran’ kebahagiaan itu, boleh kita fahami dengan kisah-kisah yang ditunjukkan oleh Al-Quran dalam kisah para Anbiya’, dan juga seerah Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan cara yang jelas bagaimana menuju kebahagiaan.
Kerangka bahagia kebiasaannya dilihat pada skala individu secara khusus.
Namun Al-Quran kerapkali mengetuk pintu hati dan akal kita bahawa ‘ia bukan semata-mata diri kita’. Isu ‘ananiyah’ atau ‘selfishness’ atau ‘keakuan’ yang ditanam dengan rancak oleh arus deras jahiliyah pada hari ini, boleh difahami dalam kerangka al-Quran bahawa ia adalah satu kerangka tercela seperti kisah Qarun dan Firaun.
Qarun walaupun tidak sampai mengaku Tuhan, tapi keakuannya yang melampau akhirnya menenggelamkan dirinya di dalam tanah. Firaun dengan keakuannya yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan, akhirnya tenggelam dalam laut dengan tenteranya sekali. Kisah kaum-kaum yang dihapuskan, diterbalikkan, hakikatnya di sebalik itu ada kisah ‘kebahagiaan yang dicari’ hingga menatijahkan perkara yang tidak diingini.
Bukalah Al-Quran, kita akan dapati segala konflik antara para Anbiya’ dengan pendustaan kaumnya adalah kerana ‘kebahagiaan’ yang bertentangan dengan kehendak ‘kebahagiaan’ mereka. Kaum Aad, Tsamud, Madyan, Lut dan sebagainya, semuanya ada jalan tersendiri menuju kepuasan hidup mereka.
Mereka sendiri faham bahawa seruan akidah tauhid dan menjauhkan syirik yang dibawa para Anbiya’ bukan semata-mata seruan ritual dan bersifat metafizik sahaja, bahkan ia adalah seruan penukaran definisi kehidupan, hingga menggugah definisi kebahagiaan di sisi mereka.
Dengan itu mereka menolaknya seboleh mungkin, walau mukjizat sehebat macamana sekali pun, mereka tidak mahu sekali-kali definisi kebahagiaan itu ditukar.
Al-Quran telah menjelaskan dengan mudah perkara ini (Surah Al-Qamar) agar kita ambil peringatan.
Kebahagiaan di sisi Anbiya’ adalah jihad, pengorbanan, misi risalah, dan kebersamaan orang-orang soleh. Semuanya itu adalah kebahagiaan yang membawa kepada kebahagiaan hakiki. Itulah cara bayarannya.
Perhatikan setiap doa-doa yang dirakamkan dalam Al-Quran, kita akan dapati semua doa itu adalah harapan dan cita-cita mereka. Apabila ia dirakam dalam al-Quran, itu bermakna ia benar-benar punyai maksud dan isyarat yang cukup keramat kerana ia dibaca berulang kali hingga akhir zaman.
Arus deras hari ini hanya boleh ditangani dengan kembali kepada neraca Al-Quran. Menghidupkan masyarakat dengan nilai Al-Quran. Mengalirkan Al-Quran dalam segenap kehidupan kita. Menghidupkan Al-Quran dalam jiwa-jiwa kita. Memandang kehidupan sepertimana yang digambarkan Al-Quran, dan hidup sepertimana yang dikehendaki Al-Quran, hingga menjadi Al-Quran yang hidup di tengah masyarakat.
Lalu… dalam muhasabah ini, bangunlah di tengah malam, buanglah egomu, ambillah Al-Quran yang dahulunya engkau selalu letakkannya dalam poket baju kini sudah diletakkan di rak buku, dengan alasan ‘Al-Quran sudah dalam telefonku’, renungi satu persatu ayat-ayat itu, imbaslah kembali kesungguhanmu ketika di awal-awal engkau cuba memahami makna-makna kalam Tuhanmu, tanyakan pada dirimu,
Di mana semangatmu yang dulu? Adakah semakin lama engkau semakin dungu? Atau semakin lama hatimu sudah pun menjadi batu? Adakah kefahamanmu terhadap Al-Quran semakin bertambah? Adakah hidupmu semakin menggambarkan Al-Quran itu? Adakah jiwamu sudah pun menterjemahkan Al-Quran? Adalah kau dapati dirimu dalam kalangan mereka yang berjaya? Atau kau dapati dirimu punyai ciri-ciri manusia yang diseksa di neraka?
Kasihanilah dirimu, saban tahun dengan Al-Quran, namun tidak pernah dicintainya.
Selepas itu… hanyutkanlah dirimu, bersama deraian air mata yang sudah lama tidak mengagungkan Penciptanya.
Pada ketika itu, kita akan sedari : Adakah kebahagiaan selain dari ini?
Oleh Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Sumber : indahnyaislam.my
Recent Comments