Kewujudan masyarakat majmuk adalah suatu sunnah Ilahiah, yang merupakan manifestasi kekuasaan dan kehendak Tuhan yang tidak boleh dijadikan alasan oleh manusia untuk tidak memikirkan satu bentuk hubungan yang harmoni. Sebagai manusia yang beragama, diwajibkan antara kedua-dua golongan masyarakat seperti Islam dan Kristian yang berbeza itu untuk saling kenal mengenali sebagai memenuhi tuntutan kehidupan.

Antara kegemilangan sejarah yang amat penting dari sudut tamadun dan kemajmukan serta toleransi beragama dalam Islam ialah penguasaan Islam terhadap Andalus yang dilakukan oleh Musa Ibnu Nusair menjelang tahun 95H/714M. Setelah Islam bertapak di Andalus, orang-orang Yahudi telah masuk dari Timur menuju ke Codorva yang merupakan pusat kegiatan ekonomi dan politik pemerintah Islam Andalus menerima kedatangan mereka dengan tangan terbuka, bahkan mereka diberi jawatan penting seperti doktor dan sebagainya. Pemerintahan Islam di Andalus tidak menghalang mereka mendirikan sebuah Sekolah Yahudi yang terkenal di Cordova dengan pengajian Kitab Talmudnya.

Percubaan untuk memahami hubungan antara agama bukanlah merupakan sesuatu yang baru dalam sejarah peradaban dunia. Sejarah Islam itu sendiri sudah memberikan satu bentuk hubungan yang akrab antara penganut bukan Islam. Hal ini dapat diperhatikan melalui kehidupan masyarakat bukan Islam dalam Piagam Madinah. Melalui Piagam Madinah yang dirumuskan pada awal abad ke-17 Masihi ini, dunia diperkenalkan kepada gagasan politik yang sangat revolusioner, beretika dan berwibawa. Piagam ini jelas mempunyai tujuan perancangan bagi terciptanya keserasian politik dengan mengembangkan toleransi sosio agama dan budaya seluas-luasnya.

Disebabkan adanya salah faham dan berbagai-bagai kemungkinan yang tidak terduga, maka sikap kritis dan terciptanya hubungan yang erat dan dialogis antara tokoh-tokoh agama menjadi sangat penting sebagai tindakan yang bersifat pemulihan dan harus diikut serta. Bagi masyarakat yang beradab dan beragama, perbezaan pendapat yang wujud boleh dijadikan sebagai landasan yang komunikatif dan saling memahami melalui mekanisme dialog. Tentunya mekanisme dialog mestilah lahir dan dilaksanakan dalam suasana mencari kesepakatan berasaskan nilai-nilai bersama dan bukannya berdasarkan prasangka dan emosi.

Dialog yang berkesan lahir bukan berasaskan kekuatan fizikal atau fitnah, tetapi harus berlandaskan percubaan untuk memahami atau mencari kata sepakat dalam sesuatu masalah bersama dalam perspektif agama masing-masing. Ujuran itu dianggap sebagai sebuah kombinasi dan pengembaraan ilmiah yang jarang berlaku serta sangat diperlukan oleh negara kita untuk memahami perkembangan nilai kehidupan keagamaan yang semakin pluralistik.

Pentingnya dialog antara agama ini adalah untuk mengetahui sejauhmanakah perlunya sikap keterbukaan bagi memenuhi tuntutan kemasyarakatan antara penganut agama terutamanya Islam dan Kristian di Malaysia. Pola pemikiran tersebut menjadi sangat penting bagi mengukur asas atau percubaan untuk mengadakan dialog antara agama bagi mendapatkan persefahaman dan kefahaman sikap penganut Islam terhadap agama-agama lain. Melalui kefahaman inilah dijangka dapat mengurangkan salah faham dan prasangka buruk terhadap penganut agama lain.

Apabila masyarakat Islam memahami bentuk dan sifat penganut agama lain, mereka dipercayai boleh menerima lain-lain agama sebagai pilihan penganutnya. Ini seterusnya dapat membantu bukan Islam memahami gaya hidup dan falsafah kehidupan orang Islam dan hubungan yang komunikatif akan membolehkan imej Islam dapat diperbetulkan. Islam difahami secara lebih baik dan usaha untuk melabelkan para penganutnya sebagai negatif dapat diperbetulkan. Perbuatan negatif bukanlah hak eksklusif sesebuah masyarakat atau hak orang Islam, perilaku negatif merupakan perbuatan yang melampau sempadan dan pegangan agama. Perbuatan atau peri laku negatif berlaku di mana-mana, oleh sesiapa sahaja yang tidak mengikuti garis panduan kehidupan beragama, secara lebih praktikal dan mendalam.

Islam sering mengamalkan prinsip toleransi, saling berhubung dan mementingkan moral serta kehidupan bermasyarakat. Islam bukanlah agama yang menganjurkan perilaku negatif dan melancarkan tindakan ganas. Islam turut menghormati agama lain dan tidak menakutkan penganut agama lain. Islam mementingkan perdamaian dan inti dasar Islam sebenarnya ialah membentuk peri laku manusia yang baik, luhur, berbudi tinggi dan menghormati setiap makhluk sebagaimana tujuan sebenar manusia memerlukan agama.

Apa yang dikesalkan hari ini kejayaan Islam terus diberikan pelbagai gelaran buruk dan sering disamaertikan dengan keganasan, fanatik, fundamentalis, ekstremis dan teroris.

Translate »